Rancangan Bangunkan Semula Bekas Kawasan Pengeboman Bali 2002 Dihentikan

TERKINI
May 06, 2019 - 09:54 AM


Projek pembinaan bangunan bertingkat di salah sebuah tapak bekas tragedi pengeboman di Bali pada tahun 2002 yang telah mengorbankan lebih daripada 200 orang telah dihentikan sementara waktu berikutan aduan dan bantahan pihak Australia, yang turut kehilangan ramai warganegara mereka dalam kejadian terebut.

Upacara ‘pecah tanah’ dijadualkan berlangsung pada Rabu, namun menurut pegawai tempatan, acara tersebut telah ditunda bagi memberi ruang kepada pemilik tanah dan persatuan mangsa untuk mencapai persetujuan supaya di tanah tersebut didirikan taman memorial.

Ketua Agensi Pelancongan Tempatan, Made Badra memberitahu bahawa satu mesyuarat bakal berlangsung antara pemilik tanah dan wakil daripada Persatuan Taman Keamanan Bali. Sehubungan dengan itu, rancangan untuk membangunkan semula kawasan terlibat ditunda sehingga persetujuan dicapai.

Tragedi pengeboman pada tahun 2002 tersebut telah mengorbankan 202 orang dan 88 daripadanya adalah warga Australia dan ianya merupakan angaka tertinggi mengikut negara yang terlibat.

Lila Tania, 2 dari kanan memberikan keterangan. 

Menurut pemilik tanah, Lila Tania, 17 tahun tanah dan kawasan tersebut terbiar dan ianya sangat merugikan dirinya dan keluarga. Namun, beliau tidak menolak untuk menjual tanah tersebut kepada Persatuan Taman Keamanan Bali sekiranya harga yang diletakkan adalah berpatutan.

Sumber :  Nusabali.com