'Rasa Nak Pengsan Bila Skrol Terjatuh' - Putera Raja Tampan Dipuji Spontan Tunduk & Ambilkan
TERKINIKagum dan gerun!
Itu perasaan Leftenan Muda Sarah Monika Mohd Roni Sow Abdullah selepas gagal menyambut skrol diserahkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam ke-40.
Menerusi video tular di laman sosial, Tengku Hassanal dilihat tunduk ke bawah bagi mengambil skrol yang terjatuh selepas terlepas daripada genggaman Sarah Monika, 24 tahun sewaktu majlis istiadat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada 10 September lalu.
@nadia_rhtv Pemangku Raja Pahang, Raja yang humble...Allahu Akbar Semoga Allah lanjutkan usia Tuanku! #pemangkurajapahang #kerabatpahang #tengkumahkotapahang #tengkuhassanalibrahimalamshah #tengkuhassanal #fyp #fypシ #fypage #fypシ゚viral #viral #palapes #pentauliahandiraja #ukm #kaptenraeiz #kaptenraeizhamed #raeizhamed #captraeiz #captraeizhamed #extudm #bekastentera #tudm #veteran #veteranATM #Malaysia #rajaberjiwarakyat ♬ original sound - Nadia_RHTV
Berkongsi kisah, Sarah Monika berkata, insiden itu tidak disengajakan dan berlaku kerana dia terlalu gementar.
Katanya, dia turut terkejut melihat reaksi spontan Tengku Hassanal dan mengakui bersalah tidak dapat mengambil sendiri skrol berkenaan dan terpaksa mengikut protokol majlis.
"Saya sangat gementar naik ke pentas ketika itu sehingga orang terdekat pun menyedarinya.
"Bagaimanapun, saya gagahkan diri juga naik dan lain pula jadinya apabila skrol diserahkan Tengku Hassanal terlepas daripada genggaman tangan saya.
"Ikutkan hati saya nak tunduk dan ambil sendiri skrol itu tetapi terpaksa tahan kerana mengikut protokol. Tak sangka pula baginda sendiri tunduk dan ambil skrol berkenaan sebelum petugas sempat datang membantu," katanya.
Menurutnya, badannya kaku dan berasa seperti hendak pengsan ketika itu.
Sarah Monika berkata, dia juga sudah bersedia dimarahi oleh pegawai atasan kerana sedar apa yang berlaku disebabkan kecuaiannya.
"Secara polisi dan protokol, baginda tidak boleh tunduk tetapi itu yang terjadi tempoh hari.
"Ingatkan baginda serahkan semula skrol seperti biasa namun dia sempat tenangkan saya dan beri kata semangat kerana tahu saya gementar.
"Apa pun, saya kagum dengan keperibadian baginda kerana bersikap rendah diri walaupun berstatus Putera Raja," katanya.
Di sebalik apa yang berlaku, Sarah Monika bersyukur kerana akhirnya ditauliahkan sebagai pegawai Leftenan Muda selepas empat tahun menempuh pelbagai cabaran getir di kem latihan.
Sumber: Harian Metro