"Sanggup Bertumbuk Dengan Orang Tua" - Pemuda Serang Bekas Doktor Umur 68 Tahun Ditahan

TERKINI
March 21, 2023 - 04:24 PM


Hangat di platform media sosial apabila viral satu klip video yang agak mengejutkan. Menurut paparan video, kelihatan seoran pemuda yang berang bertindak di luar kawalan akibat kemarahan.

Menurut pihak polis, pemuda mengarahkan pemandu tersebut memberhentikan kenderaan namun tidak diendahkan. Lalu dia bertindak menumbuk, menarik rambut dan menyepak seorang warga emas dalam kenderaannya di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran sebuah pusat beli-belah di Ampang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu berlaku semasa mangsa yang juga seorang doktor berusia 68 tahun memandu di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama menyedari kenderaannya dilanggar dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, apabila sampai di hadapan stesen minyak berkenaan, kenderaan mangsa dihalang dari arah hadapan oleh sebuah kereta Mercedes berwarna putih.

“Kemudian seorang lelaki turun dari kenderaan itu dan bertindak membuka pintu kereta mangsa lalu menumbuk muka bahagian kanan pipi, menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit.

“Kejadian itu dirakam oleh pengguna jalan raya lain yang kemudian ditularkan di media sosial, semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek berusia 27 tahun ditahan ketika hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas selesai memberi keterangan pada pukul 9.45 malam tadi.

“Suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang mengendahkan arahan untuk memberhentikan kereta semasa pelanggaran kenderaan berlaku.

“Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas lelaki itu didapati negatif,” jelasnya.

Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Destination: