"Saya Tak Sedar Dan Terdengar Bisikan" - Pemuda Pertahan Diri Insiden Tikam Pesakit Hospital

TERKINI
March 01, 2023 - 11:21 AM


Baru-baru ini viral satu insiden di mana seorang lelaki yang menghidap demam denggi datang ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum ditikam seorang pesakit mental.

Tikaman itu menyebabkan mangsa cedera pada abdomen kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan. Namun, mangsa kini dilaporkan stabil.

Mahkamah Sesyen Selayang hari ini memerintahkan seorang lelaki yang menikam seorang pesakit di Hospital Selayang, menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal supaya Mohd Khairul Kamul, 22, dihantar ke pusat psikiatri kerana dipercayai keadaan mental tertuduh tidak stabil.

"Pihak pendakwaan membuat permohonan itu di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Tertuduh juga telah ditahan dan menerima rawatan di Jabatan Psikiatrik Hospital Selayang sejak 15 Feb lepas. Tiada jaminan dicadangkan terhadap tertuduh," katanya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

"Saya tidak sedar dan di bawah halusinasi serta terdengar bisikan-bisikan," katanya ketika ditanya jurubahasa sama ada dia faham pertuduhan atau tidak.

Dalam prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dia dirawat di rumah kakaknya di Batu Caves.

Hakim Nor Rajiah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Mac untuk sebutan kes bagi laporan psikiatri tertuduh.

Destination: