Sempoi Masuk Ofis Pakai Capal. Ini Aktiviti Hari Pertama Anwar Sebagai PM10!
TERKINISelepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam (24 November 2022) --
Hari ini (25 November 2022) secara rasminya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalankan tugas rasmi beliau sebagai pemimpin utama yang akan menakhodai Malaysia ke arah yang lebih baik.
Ironinya jadual hari pertama Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri yang baru kebetulan jatuh pada hari Jumaat terakhir bulan November ini.
Oleh itu, beliau juga kelihatan tampil bergaya dengan mengenakan baju melayu berwarna pink lembut lengkap bersampin dan bersongkok serta memakai capal.
Laporan media cetak dan elektronik di seluruh negara juga dipenuhi dengan pergerakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu seawal dari beliau meninggalkan kediamannya di Bandar Sungai Long, Kajang sehingga aktiviti masuk ke Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya.
Jom kita tengok jadual rasmi Datuk Seri Anwar pada hari pertama beliau bergelar Perdana Menteri ke-10 Malaysia.
1) BERTOLAK KELUAR DARI RUMAH
9.28 pagi: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari kediamannya di Bandar Sungai Long, Kajang sambil melambai tangan kepada media menuju ke bangunan Perdana Putra, Putrajaya bagi memulakan tugas sebagai Perdana Menteri ke-10 secara rasmi hari ini.
Kelihatan isteri beliau yang juga Penasihat PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menghantar suaminya hingga ke depan pintu sambil melambai tangan.
Ketika keluar dari kediamannya, Datuk Seri Anwar sempat melambaikan tangan ke arah petugas media dan hanya memberi kata-kata ringkas “hari ini saya kerja”.
2) TIBA DI PERDANA PUTRA
9.52 pagi: Kenderaan yang membawa Perdana Menteri tiba di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya dilihat memasuki pintu pagar utama Pejabat Perdana Menteri.
3) CLOCK-IN
9.59 pagi: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki pejabatnya di Aras 5, Perdana Putra, Putrajaya.
Kemudian beliau mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda dan simbolik memulakan tugas Perdana Menteri secara rasmi.
4) MULA TUGAS RASMI
Datuk Seri Anwar kemudian memulakan tugas di Putrajaya dengan mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Turut serta dalam mesyuarat ini adalah pegawai-pegawai tertinggi kerajaan.
5) SIDANG MEDIA KEDUA SEBAGAI PM
Sebelum keluar makan tengah hari, Datuk Seri Anwar juga sempat mengadakan sidang media rasmi keduanya sejak bergelar Perdana Menteri.
Antara 3 intipati penting daripada kenyataan media beliau adalah:
- meletakkan keutamaan untuk menangangi isu kos sara hidup, dan akan mengadakan pertemuan dengan jabatan serta agensi berkaitan selewat-lewatnya pada hari Isnin ini.
- mengumumkan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah secara rasmi akan menyertai Kerajaan Perpaduan dan ini menjadikan jumlah dukungan pemerintahan kepada 2/3 Parlimen.
- perbincangan sedang diadakan bersama parti-parti yang membentuk kerajaan bagi mengecilkan saiz Kabinet serta saya turut menegaskan akan mengurangkan gaji anggota Kabinet kelak.
6) MAKAN TENGAH HARI BERIYANI KAMBING DI MEDAN SELERA
12.20 tengah hari: Perdana Menteri dilihat sempat meluangkan masa untuk singgah makan tengah hari di Medan Selera Presint 8, Putrajaya.
Beliau tiba ke medan selera terbabit dengan menaiki kereta jenis Vellfire hitam sebelum bertemu dan beramah mesra dengan beberapa pengunjung dan peniaga.
Juadah nasi beriani kambing menjadi pilihan Perdana Menteri untuk santapan tengah harinya.
7) SOLAT JUMAAT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai hampir 3,000 jemaah di Masjid Putra, Putrajaya untuk menunaikan solat Jumaat hari ini.
Datuk Seri Anwar sempat bersalaman dengan para jemaah sebelum masuk ke Dewan Solat masjid untuk mendengar khutbah bertajuk 'Nasihat Buat Pemimpin: Khalifah Umar Bin Abdul Aziz Contoh Teladan,' yang dibacakan Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali dan menunaikan solat Jumaat.