SM Faisal Saman Caprice, Atas Video Fitnah Ulas Kes Dengan Bekas Isteri

TERKINI
September 20, 2022 - 06:41 PM


Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal memfailkan saman terhadap penyanyi rap, Caprice, atas dakwaan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Instagram yang mengaitkan ahli perniagaan dengan kes Emilia Hanafi, bekas isteri usahawan berkenaan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, ahli perniagaan itu mendakwa pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.

Dakwa plaintif, insiden terbabit diuar-uarkan dan dimanipulasi oleh Emilia atau pihak tertentu dengan berniat jahat (mala fide) melalui media massa atau elektronik secara meluas.

SM Faisal mendakwa, sehari selepas itu, defendan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah di Instagram defendan.

“Hantaran memfitnah itu mendapat publisiti meluas kerana defendan mempunyai lebih kurang 1.5 juta pengikut di Instagramnya dan hantaran terbabit dilihat atau disukai kira-kira 14,500 orang,” dakwa plaintif.

SM Faisal mendakwa, hantaran fitnah itu, antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

Menurut plaintif, tindakan defendan itu menyebabkan beliau tertekan dari segi emosi, selain dicemuh dalam kalangan masyarakat umum.

Dakwa ahli perniagaan itu lagi, satu surat tuntutan bertarikh 7 Julai lalu telah dihantar bagi memohon defendan menarik balik hantaran itu, selain memohon maaf kepada plaintif, namun defendan gagal memenuhi tuntutan terbabit.

Destination: