Syiling Peringatan Khas Pertabalan YDPA Ke-16 Dibuka Untuk Tempahan

TERKINI
August 21, 2019 - 11:27 AM


Sempena dengan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al - Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al – Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al – Musta’in Billah, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan syiling peringatan dan ianya telah dibuka untuk tempahan bermula 19 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, tempahan boleh dibuat di laman web rasmi Bank Negara Malaysia bermula 19 Ogos hingga 11 malam 23 Ogos. Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya berurusan secara langsung menerusi laman web rasmi sahaja untuk mengelakkan sebarang kejadian penipuan daripada pihak yang tak bertanggungjawab.

Selain itu, difahamkan setiap pembeli hanya dihadkan untuk menempah satu syiling emas, tiga syiling Emas Nordic, satu syiling perak atau satu unit set dua dalam satu perak dan emas Nordic.

Keputusan tempahan akan diumumkan pada 17 September 2019 di laman web Bank Negara dan pembeli yang berjaya boleh mengambil wang peringatan tersebut antara 30 September hingga 11 Oktober 2019 di lokasi pengambilan yang dipilih semasa proses tempahan.

Sumber : Bank Negara Malaysia