"Tiada Sebarang Konspirasi Untuk Menjatuhkan Ebit Lew" - Tegas Saksi & Firdaus Wong
TERKINISeorang pakar motivasi memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa dia tidak bersetuju dengan cadangan soalan peguam bela, Ram Singh yang menyatakan dirinya serta Firdaus Wong membuat konspirasi.
Saksi pertama, Mohd Fairuz Abu, 37, tidak bersetuju bahawa sebarang hantaran media sosial berkaitan isu berkenaan serta pertemuan dengan pengadu (identiti tidak boleh didedahkan) di Bukit Aman, pada 7 Ogos 2021 adalah bertujuan bagi merosakkan reputasi tertuduh.
“Saya tidak bersetuju,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada Mohd Fairuz masih menyiarkan isu terbabit di media sosial mengenai tertuduh selepas pengadu membuat laporan polis, dia memaklumkan dirinya tidak berbuat demikian namun berbeza dengan Firdaus Wong yang masih memuat naik isu berkenaan.
“Saya tidak, Firdaus ya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria ketika sesi pemeriksaan semula meminta penjelasan Mohd Fairuz tentang tujuannya berjumpa pengadu ketika membuat laporan polis di Bukit Aman.
Menurut Mohd Fairuz, pertemuan terbabit hanyalah bertujuan menemani pengadu serta suami sebagai tanda sokongan selain memberi keterangan.
“Pertemuan ini berlaku di Bukit Aman, saya menemani beliau dan suami sebagai tanda sokongan dan juga memberi keterangan kepada pihak polis,” katanya.