Tokyo Dahului Senarai Bandar Paling Selamat 2019
TERKINITokyo kekal nombor satu dalam ranking bandar terbaik dunia menurut Index Bandar Selamat 2019 yang dikeluarkan oleh The Economist Intelligence Unit.
Safe Cities Index (SCI) 2019 ini mengelaskan destinasi seluruh dunia berdasarkan beberapa faktor keselamatan termasuk; keselamatan digital, keselamatan kesihatan, infrastruktur serta keselamatan peribadi.
Ibu negara Jepun berkenaan berjaya mengumpul 92 mata daripada 100 dan diikuti oleh Singapura, Osaka, Amsterdam dan Sydney dalam kelompok 5 teratas.
Dalam ranking keseluruhan, Kuala Lumpur berada di tangga ke 35 dengan 66.3 markah, Bangkok di tempat ke 47, berkongsi kedudukan dengan Bandar Ho Chi Minh dan Jakarta di tangga ke 53.
Kalau kita perhatikan setiap kategori, Kuala Lumpur berada dalam kumpulan pertengahan dengan keselamatan digital di tangga ke 43, keselamatan kesihatan di tangga ke 38; berkongsi mata dengan Rio de Jainero, Sao Paolo dan Santiago.
Dari segi infrastruktur, Kuala Lumpur berada di tangga ke 37 dan prestasi terbaik Kuala Lumpur adalah di keselamatan peribadi dengan berada di tangga ke 31 dengan 81.8 mata dibelakang bandar bandar besar seperti New York (82.2), San Francisco (83.3) dan mendahului Los Angeles yang berada di tempat ke 32.
Jika diperhatikan, kesemua bandar yang berada dalam top-5 berkongsi ‘resipi’ yang sama iaitu memberikan keutamaan kepada perkara penting yang diperlukan oleh penduduk serta memastikan perkara asas dipenuhi.
Pentingnya berada dalam ranking ini adalah ia adalah sebuah penanda ketersediaan sesebuah bandar untuk menerima dan berkembang dalam arus pemodenan dan teknologi masa kini dan masa hadapan.
Nota Editor : Kalau diperhatikan, Kuala Lumpur berada dalam satu landasan yang betul dan tidak mustahil kita bakal menduduki kelompok 20 atau mungkin 10 terbaik dalam beberapa tahun lagi.
Source : The Economist