“Untuk Mafia Sejati” - Azhar Sulaiman Lelong Plat M4F1A Bermula Harga RM1.85 Juta

TERKINI
August 23, 2023 - 02:34 PM


Pelakon, Azhar Sulaiman berjaya menyita perhatian orang ramai setelah meluahkan hasrat untuk menjual nombor plat pendaftaran kenderaan miliknya, MAF14.

Mana tidaknya, Azhar berniat mahu memulakan bidaan nombor plat unik yang dibaca mafia itu dengan harga tidak terjangkau iaitu RM1.85 juta.

Turut menyertakan nombor telefon untuk dihubungi, bekas finalis Hero Remaja itu menyatakan bahawa plat tersebut sesuai dipakai oleh ‘mafia sejati’.

Perkara tersebut dikongsikan oleh bapa kepada selebriti media sosial terkenal, Kasih Iris Leona itu menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya, @azharbsulaiman.

“Satu-satunya gelaran MAFIA untuk dilepaskan. Bidaan bermula pada harga RM1.85 juta. Jika anda mafia sejati, sila hubungi nombor telefon kalau berani.

“Harap maklum kepada mafia Malaysia, bidaan untuk pemilikan (nombor plat kenderaan) bakal ditutup pada pukul 12 tengah malam, 24 Ogos 2023 ini.

“Selamat maju jaya kepada semua pemohon Mafia,” tulis Azhar di keterangan gambar dan juga kapsyen hantaran tersebut.

Azhar juga berkongsi gambar dirinya memegang keratan Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk membuktikan bahawa nombor plat Nissan Murano itu adalah miliknya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata peminat yang kerap melihat kereta itu terkejut apabila mengetahui bahawa ia adalah milik Azhar Sulaiman.

Ramai juga pengikut Instagram yang teringin menelefon Azhar namun tidak berani untuk mendapatkan nombor plat berkenaan tanpa kebenaran isteri.

“MAFIA itu Azhar punya? Pernah ternampak. Gila hensem kereta, memang mafia habis. Padan dengan nombor,” kongsi seorang pengikut yang kagum.

“Nama dah mafia tentu-tentu berani dan kental. Sekejap saya tanya isteri dahulu,” seloroh pengguna Instagram lain yang mencuit hati.

Nombor plat unik MAF14 milik Azhar itu pernah tular kira-kira pada tiga tahun lalu setelah dikongsikan secara meluas di pelbagai platform media sosial.

Sumber: Malaysia Dateline

Destination: