"Waktu Kena Saman Baju Lain" - Pegawai MB Perjelas Isu Bukan Islam Disaman

TERKINI
June 27, 2023 - 05:03 PM


Sejak kelmarin heboh dengan satu posting di Twitter dan Facebook menunjukkan orang bukan Islam disaman kerana berpakaian menampakkan sebahagian kakinya dengan berseluar pendek.

Posting berikut mengundang kecaman orang ramai seolah-olah penduduk Kelantan bukan beragama Islam ditekan untuk mengikuti dan menuruti peraturan pemakaian seperti orang Islam.

Menurut Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua berkata majoriti bukan Islam termasuk mereka yang bekerja dan berniaga faham peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan. Tambah Lau, ia termasuk isu membabitkan etika pakaian di tempat awam serta premis perniagaan.

"Orang bukan Islam di Kelantan sebenarnya faham dengan setiap peraturan. Cuma yang jadi isu, mereka nak cipta persepsi negatif, itu sahaja.

"Dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tertakluk bawah peraturan dan undang-undang. Sudah dijelaskan pakaian untuk orang bekerja dalam premis perniagaan mesti sopan" ujarnya.

Lau berkata jika peraturan berikut tidak diendahkan dan dilanggar, tidak menjadi kesalahan jika PBT mengambil tindakan (saman) kepadanya.

Beliau menjelas peraturan mengenai pakaian terpakai kepada penduduk Islam mahupun bukan di negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Pihak media semalam dilaporkan seorang peniaga wanita bukan Islam dikompaun kerana berpakaian 'menjolok mata' ketika pegawai penguat kuasa MPKB membuat pemeriksaan mengejut di premis miliknya.

Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin berkata wanita itu didapati berseluar pendek di tempat awam, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang menyatakan pemilik perniagaan dan pekerja bukan Islam perlu berpakaian sopan.

Lau mengulas kompaun berkenaan dikenakan terhadap individu berkenaan kerana berpakaian seolah-olah 'tidak berseluar'. Jelasnya wanita berkenaan memakai seluar pendek sampaikan dia dilihat seperti tidak memakai seluar dan hanya baju sahaja. Wanita berikut menukar seluar dan tunjuk gambarnya disaman.

"Cuba tipu masa kena saman pakai seluar lain, lepas kena saman pakai seluar lain. MPKB sebelum nak saman ada ambil gambar dia dulu" kata beliau.

Isu yang tular di media sosial sengaja diperbesarkan pihak tertentu untuk memberi imej buruk kepada pentadbiran negeri ini bagi tujuan politik.

Beliau juga 'menjemput' mana-mana pihak yang tidak percaya dan tidak mendapat gambaran sebenar ke Kelantan serta melihat sendiri keharmonian kehidupan bukan Islam di negeri tersebut.

"Bukan Islam di Kelantan tidak ditekan atau ditindas, tidak sama dengan persepsi dicipta sesetengah pihak. Kami diberi kebebasan selagi tidak bertentangan undang-undang" tambah Lau.

Sumber : Free Malaysia Today