[VIDEO] 'Ya, Wujud Aktiviti Khurafat Di Telaga Tok Sheikh, Gunung Jerai' - Dedah Sabri Azit!

TERKINI
November 12, 2022 - 01:03 AM


Memang wujud aktiviti khurafat di Telaga Tok Sheikh, Gunung Jerai, Yan, Kedah!

Itu pendedahan yang dibuat oleh penyandang Parlimen Jerai, Sabri Azit yang menyifatkan kes itu sebagai masih terpencil kerana ianya tidak sehingga menjejaskan akidah dan kepercayaan Islam masyarakat setempat.

"Saya dapat maklumat daripada Jabatan Agama Daerah sehubungan kenyataan Menteri Agama kata ada khurafat dan sebagainya. Alhamdulillah pihak jabatan agama telah buat satu tindakan ke depan apabila naik siasat sendiri di Telaga Tok Sheikh itu sendiri ada macam-macam, ada yang letak bunga, memang ada, memang wujud," dedah Sabri yang juga calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Jerai pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

Beliau berharap selepas ini pemantauan secara kerap dapat dilaksanakan secara bersepadu antara Jabatan Agama Daerah Kuala Muda dan Yan bagi membendung sebarang aktiviti khurafat ataupun ghaib yang sering berlaku di kaki Gunung Jerai itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah ada mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bagi menyiasat satu video tular berkenaan amalan khurafat yang dilakukan oleh beberapa individu tidak dikenali di atas Gunung Jerai, beberapa bulan lalu.

Gunung Jerai yang menjadi antara tarikan pelancongan terkenal di Yan, sebuah 'Daerah Pelancongan Warisan' turut menjadi sasaran kumpulan ajaran sesat bagi melakukan pelbagai ritual serta aktiviti khurafat.

Sabri ditemui ketika berkempen mengedarkan flyers kepada masyarakat di sekitar pasar malam di Yan, Kedah pada Khamis.

VIDEO DI TELAGA TOK SHEIKH, GUNUNG JERAI

Destination: