8 Tips Ambil Gambar 'Awesome' Di Pantai!

GAYA HIDUP
August 15, 2019 - 12:34 PM


Ramai yang bila bercuti ke pantai, mesti wajib ambil gambar berlatar belakangkan pemandangan indah air laut yang kebiru-biruan kan?

Tapi, peliknya kadang-kala gambar pantai kita tak nampak cantik atau meletop macam gambar pantai instafamous pun.

Nah, kami kongsikan beberapa 'trick' dan tips untuk mengambil gambar pantai yang gempak tanpa perlu banyak gunakan proses suntingan atau edit gambar!

#1. JANGAN AMBIL GAMBAR KETIKA CAHAYA BERLEBIHAN ATAU 'TOP LIGHT'

Cahaya matahari yang berlebihan atau terlalu terik akan membuatkan langit kelihatan terlampau putih dan warna air laut nampak pucat, sekaligus menghasilkan gambar yang kurang menarik.

Tempoh masa untuk mengambil gambar pantai adalah sebelum pukul 9 pagi di mana ketika itu langit betul-betul berwarna biru atau selepas pukul 4 petang di saat matahari mulai terbenam.

#2. JANGAN PAKAI BAJU BERWARNA PUTIH DI SAAT SUNRISE ATAU SUNSET

Ramai yang suka mengambil gambar di saat matahari terbit dan tenggelam, sebab kita akan mendapat hasil gambar 'siluet' yang memang cantik.

Tapi kalau nak lagi gempak, ketika mengambil gambar itu adalah dinasihatkan untuk tidak memakai baju yang berwarna putih atau cerah bagi mendapatkan gambar siluet yang sempurna!

#3. GUNAKAN TEKNIK FOTO LOW SPEED 

Pernah tengok gambar air yang kelihatan seakan embun dan tampak sangat lembut?

Nah, untuk mendapatkan gambar dengan efek luar biasa begitu, biasanya jurukamera akan menggunakan teknik 'low speed' dengan melaraskan ketetapan shutter pada kelajuan yang tepat.

Percayalah, hasil gambar yang ditangkap pasti akan nampak lebih dramatik dan meletop! Lebih-lebih lagi jika ketika itu langit sedang kemerah-merahan atau kekuningan menuju senja.

#4. GUNAKAN TRIPOD SUPAYA GAMBAR TAK GOYANG

Mengambil gambar outdoor, lagi-lagi di pantai dengan angin yang kencang sememangnya merupakan satu cabaran bagi menghasilkan foto yang cantik.

Selalunya gambar yang dihasilkan mesti nampak blur dan tak menarik. Oleh itu, pastikan anda menggunakan tripod atau monopod ketika memotret gambar di pantai supaya kamera lebih stabil dan gambar juga tidak kelihatan bergoyang.

#5. PILIH BAJU BERWARNA MERAH ATAU KUNING

Jangan lupa kalau anda bercuti ke pulau peranginan, sila bawa sehelai baju berwarna merah atau kuning untuk sesi bergambar di tepi pantai.

Warna baju yang kontras dengan warna biru laut akan membuatkan gambar anda kelihatan sangat cantik dan letop! Confirm banyak likes anda dapat di Instagram atau Facebook nanti!

#6. BAWA AKSESORI SEPERTI TOPI PANTAI

Aksesori seperti topi pantai juga bakal menjadikan gambar anda jauh lebih menarik dan catchy!

Selain topi, anda juga boleh memakai kain pario yang bercorak cantik untuk dililitkan ke tubuh anda bagi menghasilkan gambar yang lebih artistik.

#7. PENUHKAN SUDUT KOSONG DENGAN PEMANDANGAN LAUT YANG LUAS

Sudut lapang atau sudut kosong bermaksud mengambil gambar landskap agar nampak luas.

Jadikan pemandangan laut sebagai background gambar yang menarik dan jangan mengambil objek terlalu dekat kerana akan menghilangkan view laut.

#8. FOKUS GAMBAR BERUNSUR 'HUMAN INTEREST' DI SEKITAR PANTAI

Apa kata sesekali anda cuba ambil gambar objek kehidupan di sekeliling pantai dan jangan hanya tertumpu kepada potret diri sendiri sahaja.

Gambar yang berunsur 'human interest' atau memiliki nilai-nilai kemanusiaan juga kadang-kala boleh menghasilkan foto yang menarik dan meraih perhatian followers anda.