Akhirnya! Kedai Runcit, Restoran Dibenarkan Beroperasi Sampai 12 Tengah Malam

GAYA HIDUP
September 23, 2021 - 03:41 PM


Antara perkara yang menyulitkan kehidupan kita sepanjang PKP antaranya adalah kedai runcit dan restoran yang tutup lebih awal nampaknya tidak akan berpanjangan lagi. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik semalam

Ismail Sabri dalam satu kenyataannya dikeluarkan berkata, antara kelonggaran yang diberikan adalah operasi kedai runcit, pasaraya mini, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dilanjutkan dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam bermula Khamis.

Tambah beliau lagi, operasi perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan turut dibenarkan dibuka kepada pengunjung dan operator yang menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober.

"Selain itu, pusat, premis dan produk pelancongan termasuk zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing serta taman rimba turut dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Oktober dengan semua pengusaha dan pengunjung lengkap divaksin,

"Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

"Warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menyeru agar kelonggaran yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

"Patuhilah setiap yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan serta keselamatan diri," katanya.

Destination: