Analisa Ringkas Situasi Selepas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Ke-3

GAYA HIDUP
April 28, 2020 - 07:10 PM


Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 3 akan memasuki fasa 4 mulai esok iaitu 29 April 2020. Setakat ini, didapati jumlah kes harian sering menunjukkan tren menurun dan kadang kala mendatar. Dengan peningkatan kes-kes yang pulih daripada COVID-19, ini menjadikan jumlah kes aktif semakin menurun sepanjang fasa ketiga PKP. Ini sekaligus berjaya meratakan lengkung (flattening of the curve) dan Negara kini memasuki fasa pemulihan.

Misalnya, jumlah kes aktif pada hari ini adalah 1,719, berbanding kes aktif tertinggi, iaitu 2,596 pada 5 April 2020. Pencapaian ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif Kerajaan dalam aktiviti-aktiviti pembendungan penularan COVID-19 sepanjang tempoh sebelum dan semasa PKP ini. Ini dapat memastikan fasiliti KKM dapat menampung bilangan pesakit COVID-19 di Malaysia, termasuk kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kapasiti penggunaan mesin bantuan pernafasan (ventilators) di hospital.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membantu mengurangkan interaksi di antara ahli masyarakat dan mengurangkan kebolehjangkitan COVID-19. Selain aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection), KKM dengan pelbagai agensi telah menggunakan pendekatan tertumpu (targeted approach) bagikumpulan yang berisiko tinggi. Ini termasuk tindakan pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi dan rawatan bagi individu di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pengesanan peserta-peserta perhimpunan di Seri Petaling dan lain-lain perhimpunan besar-besaran, pengesanan sekolah serta madrasah tahfiz dan sebagainya.

Sumber: KPM