"Penduduk Putrajaya Paling Ramai Yang Obes & Kurang Bersukan" - Dr Zaliha

GAYA HIDUP
March 06, 2024 - 03:44 PM


Seperti yang semua maklum, Malaysia adalah negara ke-dua paling tinggi masalah obesiti di Asia Tenggara. Berdasarkan statistik yang dilaporkan oleh Seasia Stats dengan data yang disokong oleh Central Intelligence Agency dari tahun 2016 – 2024, 19.7% rakyat Malaysia mengalami dan menghadapi berat badan berlebihan serta obesiti.

Namun, dalam satu statistik yang berlainan, penduduk Putrajaya merekodkan kadar yang melebihi populasi nasional dari segi kadar obesiti, kolesterol tinggi dan juga kurang menjalankan aktiviti fizikal.

Hal tersebut di kongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa baru-baru ini dalam sebuah catatan di Facebook.

Menurutnya lagi, masalah tersebut perlu ditangani oleh semua pihak kerana Putrajaya bukan sahaja mengalami tiga masalah tersebut, tetapi juga merekodkan tahap kemurungan tertinggi di Malaysia.

Perkara tersebut ditekankan dengan serius selain menyatakan ianya amat membimbangkan dan campur tangan semua pihak diperlukan termasuklah memainkan peranan proaktif badan sukan.

Sehubungan dengan itu, bagi menangani kebimbangan kesihatan yang mendesak di Putrajaya, Kementerian pada Hari Wilayah Persekutuan memperkenalkan model “CHASE City” yang mana ‘Bandar Sihat’ diangkat sebagai salah satu visi utama.

Selain itu, pelaksanaan model ini bukan sahaja untuk Putrajaya tetapi kesemua Wilayah Persekutuan dan ia menandakan langkah strategik ke arah mengutamakan kesihatan serta kesejahteraan dalam perancangan dan pembangunan bandar.

Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan juga melancarkan inisiatif “Putrajaya Sihat Sejahtera menjelang 2030” yang baru-baru ini dibincangkan semasa Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Inisiatif tersebut  bertujuan untuk menangani jurang kesihatan dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan di Putrajaya menjelang 2030.

 

Sumber: Bernama

Destination: