Balan Kash Ucap Syukur Dengan Single Bahasa Melayu Pertama, Terima Kasih Featuring Hazama!

GAYA HIDUP
December 20, 2022 - 12:40 PM


Penyanyi Rap Balan Kash tampil melancarkan single pertamanya dalam Bahasa Melayu yang berjudul Terima Kasih, featuring penyanyi rock terkenal, Hazama.

Balan Kash adalah antara nama besar dalam pasaran Kollywood dan dunia hiburan Tamil, Balan menganggap lagu dihasilkan oleh syarikat Cendana dan My Creative ini mampu memberi sinar dan peluang baru buatnya dalam industri muzik tanah air.

Menurut Balan, lagu ini telah dihasilkan bersama Mambang dan Navin ‘Navigator’ Kumar sewaktu pandemik serta memberikan refleksi yang jujur dan nyata tentang kehidupannya.

“Bagi saya, makna lagu ini lebih besar daripada perkataan Terima Kasih itu sendiri. Lagu ini menyedarkan saya, bagaimana rasa syukur itu mampu memberikan semangat untuk terus memulakan hari dan menerima apa sahaja yang terjadi, sama ada yang baik, yang buruk, yang tinggi atau yang rendah.

“Rasa tenang ini boleh hadir dengan mudah apabila kita sering bersyukur untuk setiap perkara,” katanya.

Dalam pada itu, Hazama turut menyatakan dirinya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Balan yang mempunyai nama besar dalam industri muzik Tamil.

 

Bahkan, Hazama turut meluahkan rasa kagumnya dengan semangat Balan yang mahu mengetengahkan Bahasa Melayu dalam karyanya.

“Saya sudah lama mengikuti bakat Balan dan karya-karya hebatnya sepanjang kariernya. Saya teruja apabila diberikan peluang untuk bekerjasama dengan nama besar daripada industri muzik Tamil.

“Sebenarnya, banyak bakat-bakat tempatan yang kurang menerima perhatian daripada media dan orang ramai kerana mereka tidak menyanyi dan melakukan persembahan dalam Bahasa Melayu.

“Namun, kita semua adalah rakyat Malaysia dan saya mengharapkan kerjasama merentasi bahasa ini dapat diteruskan lagi,” katanya

Untuk makluman, Balan merupakan nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia sebagai seorang pemuzik rap berbakat yang serba boleh serta mampu menguasai tiga bahasa.

Setakat ini, lagu Terima Kasih ini telah dilancarkan oleh Believe Music di semua platform penstriman digital pada 16 Disember lalu.

Sumber dan kredit: xtra.com.my

Destination: