Belum Sampai Setahun, Roti Gardenia Naik Harga Lagi Hingga 50 Sen Mulai 1 September!

GAYA HIDUP
August 29, 2022 - 11:50 AM


Roti kegemaran rakyat Malaysia iaitu Gardenia bakal naik harga lagi bermula 1 September ini!

Pengeluar produk roti, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd mengesahkan beberapa produknya akan mengalami kenaikan harga bermula Khamis ini.

Antara harga baharu untuk beberapa produk ialah :

- Gardenia Original Classic RM3

- Gardenia Wholemeal RM4

- Rangkaian Gardenia Toast'em RM5.50

- Gardenia Twiggies RM2

- Gardenia Waffles RM1.50

- Roti Krim Gardenia RM1.10

Pelarasan harga roti putih Gardenia Original Classic, katanya ialah sebanyak 20 sen iaitu peningkatan tujuh peratus berbanding kenaikan harga tepung berprotein tinggi sebanyak 25 peratus.

Begitupun, Gardenia KL berkata pihaknya mengekalkan harga roti Gardenia Bonanza Keluarga pada RM2.75 sebuku, iaitu harga mampu milik untuk roti putih 500 gram.

Gardenia KL menyifatkan keputusan menaikkan harga adalah langkah terakhir setelah semua usaha bagi memaksimumkan kecekapan operasi dilaksanakan.

Sebelum ini, Gardenia KL telah menaikkan harga produknya bermula 1 Disember.

Pengurusan Gardenia KL dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil selepas meneliti beberapa faktor yang memberi kesan ketara kepada kos operasi mereka.

Ia termasuk bencana banjir yang melanda kawasan Shah Alam pada Disember tahun lalu, krisis rantaian bekalan global serta pelaksanaan gaji minimum.

“Dalam beberapa bulan ini pihak kami terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti tepung berprotein tinggi sebanyak 25 peratus dan serbuk putih telur lebih daripada 100 peratus, tepung gandum, gluten, susu skim, bread improver dan bahan-bahan pembungkusan roti.

“Selain daripada faktor-faktor di luar kawalan kami ini, pelaksaan gaji minimum yang wajib dipatuhi oleh majikan telah turut memberi kesan kepada kos operasi Gardenia KL.

“Hasil daripada semakan dan analisa terperinci, serta mengambil kira beberapa pilihan yang ada, Gardenia KL telah menyemak semula harga runcit bagi produk-produknya yang akan berkuat kuasa 1 September 2022,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sumber: Astro Awani

Destination: