Bila Hujung Bulan Je Poket Kering, Tapi Tiada Simpanan? Ini 3 Nasihat Untuk Simpan Gaji

GAYA HIDUP
October 06, 2021 - 10:47 PM


Menyimpan duit memang antara topik yang sering diborakkan, namun amat susah untuk ramai praktikkan terutama sekali mereka yang baru 'pegang duit'. 

Anak muda mungkin tidak sedar akan kepentingan simpanan kerana tidak menjangkakan perkara yang bakal berlaku di masa hadapan seperti berkeluarga, dan membesarkan anak-anak. 

Seperti perkongsian Unit Manager, AIA Takaful, Nur Aliah Mohd Noor, sebaik-baiknya jangan abaikan tiga nasihat kewangan ini kalau tidak mahu hidup kita merana selepas usia 55 tahun. 

Daripada 13 juta pencarum KWSP, kajian menunjukkan hanya 7.4% mempunyai baki simpanan lebih RM150,000 pada umur persaraan 55 tahun manakala 71% kurang RM50,000 pada usia persaraan mereka!

Paling membimbangkan, separuh daripada ahli KWSP berumur 55 tahun ke atas berpotensi menghabiskan 90% simpanan mereka dalam tempoh 5 tahun selepas persaraan.

Sebab itu bermula dari usia 25 hingga 40 tahun ini kita perlu buat persediaan. Ikuti nasihat-nasihat berikut:

Nasihat 1 — Kira “Magic No” Retirement Plan

Kalau kita ada RM245,000 pada umur 55 tahun kita sepatutnya sudah cukup untuk keluarkan RM1,000 sebulan sehingga jangka hayat 75 tahun.

Sama ada ianya cukup atau tidak, ianya bergantung kepada cara hidup kita berdasarkan kos sara hidup dan bagaimana kita berbelanja.

Apa yang perlu dibuat :

  • Sediakan belanjawan untuk tahu berapa banyak perbelanjaan kita sekarang ini.
  • Kira perbelanjaan kasar tentang kos sara hidup selepas kita berhenti berkerja.
  • Berapa kita mampu mula menyimpan untuk kos sara hidup nanti.

Jangan lupa, perbelanjaan kita tidak semestinya berkurang selepas pencen, ada pesara yang suka pergi bercuti dan akan ada banyak perkara yang akan tingkatkan kos hidup mereka.

Nasihat 2 — Bina porfolio persaraan

Seorang individu yang bijak dalam menguruskan kewangan adalah apabila mereka mula ada kesedaran awal tentang kepentingan perancangan dan pengurusan kewangan jangka panjang selain mula menyimpan dengan aktif serta mula membina porfolio persaraan lebih awal

Apa yang perlu dibuat :

Ada 3 faktor utama yang menyumbang kepada portfolio persaraan :

  • Simpanan peribadi 20%.
  • Pelaburan 20% daripada simpanan.
  • Pelaburan KWSP hingga usia 54 tahun.

Kalau kita masih belum mula menyimpan untuk bina portfolio persaraan, usia 30 tahun adalah masa yang sesuai untuk bermula!

Nasihat 3 — Mulakan 5 langkah ini sekarang

  1. Menyimpan dari sekarang untuk kumpul dana persaraan.
  2. Ingat, simpanan semasa kita sekarang adalah untuk perbelanjaan masa depan kita.
  3. Makin banyak kita menyimpan, makin banyak yang boleh kita belanjakan pada hari kemudian.
  4. Guna formula ‘simpan dahulu, baru belanja’.
  5. Jadikan tabiat menyimpan banyak wang itu seronok dan ia adalah lebih baik daripada simpan wang yang sikit.

Apabila sudah banyak wang, tukarkan sikit ke dalam bentuk emas. Sebab simpan dalam bentuk emas ianya kalis inflasi, harga emas sentiasa naik dalam jangka masa panjang dan ianya instrumen terbaik dalam pelaburan.

Justeru itu, tidak kira berapa umur kita, terus tetapkan matlamat persaraan kita dari sekarang ya. 

Sumber: Astro Awani