Anak Syarikat ACE Holdings, ACE Pictures Raih Anugerah Di US Melalui Filem ‘Clemency’

GAYA HIDUP
November 26, 2019 - 01:41 PM


Siapa sangka meskipun penubuhannya baru setahun jagung dalam dunia industri perfileman, ACE Pictures sebuah produksi Malaysia telah berjaya melakar kejayaan di peringkat antarabangsa menerusi buah tangan sulungnya ‘Clemency’.

Ditubuhkan pada 2017, ACE Pictures yang juga anak syarikat ACE Holdings Berhad meneroka industri perfileman Hollywood dengan menerbitkan 10 filem antarabangsa sehingga sekarang.

Filem Clemency terbitannya berjaya memenangi Hadiah Utama Juri di acara berprestij Festival Filem Sundance 2019 pada Februari lalu.

Clemency merupakan filem yang diarahkan oleh pengarah wanita Afrika-Amerika, Chinonye Chukwu serta dibintangi barisan pelakon seperti Alfre Woodard, Richard Schiff, Danielle Brooks, Michael O’Neill, Richard Gunn, Wendell Pierce dan Aldis Hodge.

Ia mengisahkan pergolakan emosi seorang wanita bernama Bernadine Williams yang bekerja sebagai seorang warden penjara serta berdepan dengan pelbagai situasi berkaitan hubungan manusia ketika mengendalikan banduan hukuman mati.

Pertaruhan Ace Pictures untuk melabur dalam filem Clemency nyata tidak sia-sia apabila dunia mula mengiktiraf hasil karya tersebut dan sekaligus melonjakkan kredibiliti syarikat produksi tempatan itu untuk terus melakar kejayaan pada masa depan.

Selain Clemency, filem-filem yang diterbitkan oleh Ace Pictures juga bukan calang-calang apabila filem ‘Color Out of Space’ lakonan Nicolas Cage dan Joely Richardson berjaya ditayangkan secara perdana di Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF), Kanada yang berlangsung pada 5 hingga 15 September lepas.

Malah, Ace Pictures juga turut terlibat dalam penerbitan filem ‘Come Away’ lakonan aktres Hollywood, Angelina Jolie.

Ketelitian Ace Pictures dalam memilih karya berkualiti daripada beratus skrip dari seluruh dunia membuktikan syarikat produksi tempatan itu benar-benar serius dalam memastikan industri filem terus berevolusi seiiring peredaran masa.

 

 

Destination: