Festival Bon Odori 2019 Berjaya Rancakkan Pelancongan Malaysia-Jepun!

GAYA HIDUP
July 23, 2019 - 11:07 AM


Siapa sangka dengan hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Jepun sejak sekian lama membolehkan rakyat negara ini melihat serta merasai sendiri keindahan budaya Jepun, tanpa perlu terbang jauh ke negara matahari terbit itu.

Dengan berlangsungnya Festival Bon Odori sejak tahun 1977 di negara ini, pengunjung tempatan dan luar negara turut sama berpeluang mengenakan pakaian tradisional Jepun iaitu Kimono dan Yukata serta Zori (sandal kayu) sambil merasai kemeriahan kesenian, tarian, nyanyian serta juadah tradisi Jepun.

 

Bagi yang belum tahu, Bon Odori adalah festival yang disambut pada musim panas di Jepun dan majlis itu diadakan sebagai menghormati nenek moyang mereka melalui persembahan, tarian, nyanyian mengikut rentak drum, gong dan seruling.

Perayaan ini disambut setiap tahun sebagai acara musim panas popular yang diadakan di setiap daerah di setiap bandar di Jepun.

Tahun ini, Festival Bon Odori telah masuk kali ke-43 penganjurannya dan ia berlangsung sangat meriah dengan kehadiran kira-kira 40,000 pengunjung yang membanjiri Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), Selangor pada Sabtu lepas.

Festival berskala besar itu mendapat kerjasama penuh Kerajaan Selangor, Tourism Selangor, Invest Selangor Sdn Bhd, Sekolah Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun.

Malah turut disokong oleh Persatuan Dasar Timur Persatuan Graduan Jepun, Dewan Perniagaan dan Industri Jepun.

Festival tahunan tersebut ternyata meraih sambutan yang semakin menggalakkan saban tahun dan berjaya membantu mengukuhkan hubungan serta industri pelancongan antara kedua-dua negara.

Bagi korang yang berminat untuk menonton atau belajar mengenai tarian Bon Odori ini menerusi video Virtual Tubers, boleh layari Facebook Japan Club Kuala Lumpur.

 

;