Isu Pelitup Muka KF Palsu, Kedutaan Korea Beri Peringatan Penting

GAYA HIDUP
September 23, 2021 - 05:39 PM


Jangan pakai mask sebab nak ikut syarat je... kesihatan itu yang nak dilindungi. 

Berikutan laporan berkenaan penipuan tentang pelitup muka jenis ‘KF’, Kedutaan Korea Selatan di Malaysia telah mengeluarkan peringatan menerusi dua posting tentang perkara tersebut baru-baru ini.

Menerusi posting yang dimuatnaik di Instagram tersebut, pihak kedutaan Korea Selatan telah tampil memberikan penjelasan tentang perkara berkenaan kepada orang ramai.

Dalam penjelasan berkenaan, difahamkan bahawa pelitup muka KF atau KF Face Mask ini sebenarnya merujuk kepada alat pernafasan yang dihasilkan di Korea dan diklasifikasikan sebagai topeng KF80, KF94 atau KF99 mengikut kecekapan penapisan.

‘KF’ disini difahamkan merujuk kepada jenis penapis yang digunakan pada pelitup muka jenis tersebut iaitu Korean Filter.

Selain itu, kedutaan Korea tersebut turut menjelaskan bahawa terdapat banyak pelitup yang dijual di pasaran Malaysia sebenarnya menjual pelitup muka yang tidak mencapai piawaian yang melayakkan mereka mendapat status KF tersebut.

Jelas mereka lagi, terdapat banyak pelitup muka yang ada dijual di platform e-dagang di negara ini sebenarnya bukan dari Korea sebaliknya dibuat di negara lain dan langsung tidak mendapatkan pengesahan selain tidak diuji dan diluluskan oleh Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat Ubatan (MFDS) Republik Korea.

Pihak kedutaan Korea Selatan tersebut turut mengingatkan mereka yang membeli sebarang produk yang dipasarkan sebagai KF80, 94 or AD (anti-droplet) untuk memeriksa status produk berkenaan di laman web MFDS untuk pengesahan.

Dalam posting yang sama, mereka turut memberikan panduan kepada orang ramai untuk membuat pengesahan tersebut melalui laman web yang dinyatakan.

Sumber: Lobak Merah