Ketahui 7 Sunnah & Adab Berhari Raya!
GAYA HIDUPEsok umat Islam di Malaysia akan menyambut ketibaan Aidilfitri.
Pastinya ramai yang tak sabar nak berhari raya dengan keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai menjelang 1 Syawal.
Tapi dalam kita teruja nak menyambut Aidilfitri, korang tahu tak sebenarnya ada beberapa adab-adab berhari raya yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW untuk kita lakukan dan insya-Allah diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Nak tahu apa Adab-Adab Hari Raya itu? Jom baca senarai ni!
#1. TAKBIR, TASBIH & TAHMID
Apabila terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan, perbanyakkanlah mengingati Allah sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan-Nya kerana kita berjaya berpuasa selama 30 hari dan bakal menyambut kemenangan di pagi Syawal.
Walaupun mungkin bertakbir, bertasbih dan bertahmid nampak mudah untuk dilakukan hanya dengan perbuatan lisan, namun ramai yang gagal untuk melakukannya dek kerana kesibukan membuat pelbagai persiapan Hari Raya.
Jadi, jangan lupa walau sibuk memasak, membersih serta menghias rumah, sentiasa basahkan lidah dan hidupkan hati dengan takbir memuji Ilahi.
#2. MANDI SUNAT HARI RAYA
Ini satu lagi perkara sunat yang dijanjikan pahala oleh Allah jika kita melakukannya, iaitu mandi sunat Hari Raya.
Waktu diharuskan untuk mandi sunat ialah bermula dari tengah malam, tetapi waktu yang disunatkan adalah selepas terbit fajar hingga terbenamnya matahari.
#3. PAKAI BAJU RAYA TERBAIK & WANGI-WANGIAN
Imam Syafie pernah berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”
Memakai pakaian yang indah bukan bermaksud pakaian baru seperti yang difahami segelintir individu, namun ia bermaksud memakai pakaian yang terbaik yang kita miliki.
Pada masa yang sama, kaum Adam juga digalakkan memakai wangi-wangian pada hari raya.
#4. MAKAN SEBELUM SOLAT RAYA
Sebelum keluar rumah untuk menunaikan solat sunat Hari Raya, kita digalakkan untuk makan atau sekurang-kurangnya menjamah makanan terlebih dahulu.
Lebih afdhal jika kita makan buah kurma dengan bilangan ganjil sebagai simbolik untuk membezakan perayaan Aidilfitri dengan hari-hari sebelumnya yang diwajibkan berpuasa.
Malah berpuasa pada 1 Syawal adalah diharamkan.
#5. SOLAT SUNAT AIDILFITRI
Selain itu, jangan lepaskan peluang menunaikan solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah raya di masjid, surau atau tempat lapang yang mengadakan solat sunat berkenaan. Ia bukti kita mendahulukan Allah daripada perkara lainnya.
Bagi makmum disunatkan untuk datang awal ke masjid manakala bagi imam disunatkan untuk lewat sedikit sehingga tiba waktu solat.
Ia bagi memberi ruang kepada umat Islam untuk membayar zakat fitrah pada waktu yang afdhal iaitu sebelum solat Aidilfitri.
#6. BERJALAN KAKI KE MASJID & GUNA LALUAN BERBEZA KETIKA PERGI-BALIK
Kita disunatkan untuk pergi ke masjid dengan berjalan kaki tanpa menggunakan kenderaan, melainkan jika terdapat keuzuran seperti sakit, lemah atau terlalu jauh.
Malah menurut Hadis Riwayat Al-Bukhari, Rasulullah juga membezakan jalan ketika pergi menunaikan solat dan pulang ke rumah semasa pagi Aidilfitri.
Mesej yang ingin disampaikan Baginda cukup jelas. Apabila melalui jalan yang berbeza, Baginda dapat menemui ramai orang seterusnya dapat saling mendoakan dan mengeratkan silaturahim, mengetahui khabar berita serta perihal kebajikan orang lain.
#7. UCAPAN TAHNIAH & SALING MENDOAKAN
Disunatkan untuk kita saling mengucapkan tahniah dan mendoakan dengan ucapan “Taqabbalallahu minna wa minkum” yang bermaksud "Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu."