Khas Buat Mangsa Banjir : Ini Tips Untuk Kekal Sihat Dari Segi Mental & Emosi Anda

GAYA HIDUP
December 22, 2021 - 02:42 PM


Mungkin sebahagian daripada mangsa banjir yang teruk terkesan dapat mengharungi tempoh sukar ini dengan baik -- namun ada juga yang berdepan kesukaran untuk kekal waras.

Bagi memastikan kesihatan mental tetap terjaga biarpun dirundung musibah, Pakar Perunding Kanan Psikiatri merangkap Pengarah UMCARES Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin telah berkongsi beberapa panduan berguna untuk mangsa banjir.

Berikut tips yang boleh diamalkan :-

1) MANGSA BANJIR PERLU DAPAT REHAT & TIDUR SECUKUPNYA

Kita tahu dalam keadaan tertekan disebabkan hilang tempat tinggal, terpaksa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) yang tak begitu selesa, mungkin sehelai sepinggang, sehingga menyebabkan kita rasa maruah kita tercabar, di sini perlunya tidur dan rehat yang sekata.

2) WUJUDKAN RUTIN DARIPADA HAL-HAL YANG DAPAT KITA KAWAL

Banyak perasaan resah gelisah ini disebabkan oleh perasaan yang di luar kawalan, rasa tidak mampu untuk mengawal persekitaran.

Jadi mungkin kita perlu ada waktu bangun yang tetap contohnya, kalau orang Islam insya-Allah pastikan kita sembahyang ikut masa supaya kita ada rutin harian yang sama seperti sebelum situasi ini berlaku.

3) JANGAN TINGGAL MAKAN UNTUK DAPATKAN NUTRISI DIPERLUKAN OLEH TUBUH

Adakalanya disebabkan terlalu risau ada mangsa banjir yang tidak menjamah sebarang makanan. Namun ia perlu dielakkan kerana tubuh badan kita masih memerlukan nutrisi dan tenaga terutama untuk kerja-kerja pembersihan ketika pasca banjir nanti.

4) FIKIRKAN PERKARA POSITIF & HITUNG KESYUKURAN TERHADAP PERKARA YANG MASIH KITA MILIKI

Ketika ada yang kehilangan nyawa, Alhamdulillah kita masih hidup.

Jadi, sifat bersyukur itu dapat membantu kita menaikkan semangat untuk meneruskan kehidupan senormal yang boleh selepas semua ini berlaku.

Namun sekiranya anda atau orang yang anda kenali masih mengalami simptom kecelaruan stres pasca-trauma, atau post-traumatic stress disorder (PTSD) yang berlarutan, segera dapatkan khidmat kaunseling dan bantuan dari pihak perubatan yang ada.

Sumber: Astro Awani

Destination: