"Macam Sama" - Betul Ke Jalur Gemilang Tiru Bendera Amerika Syarikat?

GAYA HIDUP
August 22, 2023 - 01:32 PM


Pasti ramai yang perasan dan sehingga kini tertanya-tanya mengenai reka bentuk serta warna antara bendera Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang seakan-akan sama.

Malah wujud persoalan adakah benar Jalur Gemilang sebenarnya yang meniru bendera Amerika Syarikat? Ataupun sebaliknya?

Jika diperhatikan memang kedua-dua bendera kelihatan seakan-akan sama kerana kedudukan jalur yang melintang serta penggunaan warna yang serupa. Cuma yang membezakan adalah bulan dan bintang berwarna kuning, manakala bendera AS menggunakan taburan bintang putih.

Menurut penulis buku Dunia Tanpa Tembok, Ayman Rashdan Wong -- sebenarnya bendera AS yang menyerap warisan Alam Melayu.

Ini kerana, dakwa beliau -- bendera AS, Stars and Stripes ciptaan Betsy Rose terinspirasi daripada bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) yang turut menggunakan jalur melintang merah putih. 

Ilham untuk jalur sebegitu pula dikatakan berasal daripada bendera kerajaan Majapahit, iaitu Getih-Getah Samudera. 

Kedua-dua Getih-Getah Samudera dan Sang Dwaja/Pataka berunsurkan merah dan putih merupakan variasi panji kebesaran kerajaan Majapahit.

Persamaan & Perbezaan Antara 'Jalur Gemilang' dan 'Stars and Stripes'

  • JALUR MERAH DAN PUTIH

Apa yang membezakannya ialah jumlah jalur dalam setiap bendera. Bendera AS mempunyai 13 jalur yang mewakili 13 koloni jajahan British yang diisytiharkan kemerdekaan daripada Great Britain yang diperoleh kemenangan dalam Perang Revolusi Amerika pada tahun 1775 hingga 1783.

Manakala bendera Malaysia mempunyai 14 jalur yang mewakili setiap keanggotaan 13 negeri di Malaysia dan sebuah kerajaan persekutuan. 

  • BINTANG 

Bendera AS mempunyai 50 bintang putih yang mewakili 50 negerinya. Jalur Gemilang pula hanya mempunyai satu bintang tetapi mempunyai 14 cabang. 14 cabang itu juga mewakili setiap negeri dan kerajaan persekutuan di Malaysia. 

Bintang pada bendera Malaysia diletakkan di sebelah kanan bulan sabit. Bulan sabit itu melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

  • WARNA YANG DIGUNAKAN 

Walaupun kedua-dua bendera menggunakan skema warna yang sama, makna di sebalik warna itu digunakan ada perbezaannya. 

Warna merah bagi kedua-dua bendera melambangkan keberanian. Putih pula kedua-dua bendera mentafsirkan sebagai kesucian. 

Tetapi, warna biru tua pada bendera AS melambangkan kewaspadaan, ketabahan dan keadilan. Manakala, warna biru tua pada Jalur Gemilang melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Namun, AS tidak menggunakan warna kuning dalam benderanya. Warna kuning yang dapat kita lihat pada Jalur Gemilang iaitu pada bulan dan bintang melambangkan kedaulatan Raja Berperlembagaan. 

Jika kita perhatikan kedua-dua bendera ini dengan lebih teliti, ia tidaklah serupa seperti yang disangkakan. Mungkin kelihatan sama pada penggunaan warna dan kedudukan jalurnya, tetapi masing-masing membawa dan melambangkan identiti yang tersendiri.

Kalau mahu diperketengahkan lagi isu meniru bendera AS, ada banyak lagi bendera negara lain yang kelihatan lebih serupa. Bendera negara Liberia, misalnya. 

Dakwa Ayman Rashdan lagi, kalau betul-betul faham sejarah, kita tidak akan ingat bendera Malaysia tiru bendera US, seperti yang didakwakan oleh segelintir orang. Sebaliknya, kita akan berbangga rupa-rupanya lambang adikuasa dunia pun berasal daripada warisan Nusantara yang kita berkongsi sama.

Sumber: RELEVAN

Destination: