Malaysia Negara Ke-8 Paling 'Ketagih' Tengok Skrin & No 10 Paling Banyak Tonton Video TikTok

GAYA HIDUP
April 25, 2024 - 03:18 PM


Penggunaan alatan elektronik berskrin seperti telefon pintar, televisyen dan komputer telah menjadi rutin harian masyarakat masa kini.

Ditambah dengan kewujudan platform dalam talian, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai berita dan maklumat tanpa perlu menyelak helaian buku atau surat khabar.

Namun begitu, kemudahan teknologi ini juga datang dengan keburukan, iaitu ketagihan terhadap penggunaan skrin. 

Berdasarkan laporan oleh Electronics Hub, masyarakat dunia menghabiskan purata masa sebanyak 6 jam 43 minit menghadap skrin, sama ada telefon bimbit, televisyen mahupun komputer.

Menggunakan data dari Datareportal’s Digital 2024: Global Overview Report, dapatan dikira berdasarkan jumlah masa yang dihabiskan melihat skrin serta hubungannya dengan jumlah waktu mereka berjaga setiap hari. Setiap individu secara puratanya menghabiskan masa tiga minit lebih berbanding tahun lepas untuk menonton skrin. 

Hasil tinjauan menunjukkan akyat Afrika Selatan yang paling banyak menghabiskan masa melihat skrin, dengan purata 56.8% daripada jumlah waktu berjaga. Ini adalah bersamaan dengan 9 jam dan 24 minit sehari. 

Brazil berada di tempat kedua setelah Afrika Selatan, menghabiskan masa selama 9 jam 13 minit (54.7%) melihat skrin setiap hari. Ini diikuti negara Filipina dengan jumlah masa 8 jam 52 minit (52.3%). 

Berdasarkan laporan tersebut, Malaysia didapati berada di tempat kelapan negara paling banyak melihat skrin, iaitu sebanyak 8 jam 17 minit sehari. Jumlah ini adalah hampir separuh waktu berjaga purata rakyat Malaysia.

Tidak mengejutkan juga apabila negara kita berada antara sepuluh negara paling banyak meluangkan masa menatap skrin telefon, iaitu sekitar 4 jam setengah.

Malaysia berada di tempat kesepuluh (bersama Kanada) negara paling banyak melihat TikTok iaitu sebanyak 121 video sehari. 

 

Sumber: BuzzKini

Destination: