'Mood' Melancong Rakyat Malaysia Makin Rancak! Siap Dah Plan Percutian Hujung Tahun

GAYA HIDUP
September 05, 2022 - 05:49 PM


Meskipun berbaki 3 bulan lagi menjelang penghujung tahun, namun nampaknya trend rakyat Malaysia ketika ini sudah pun sibuk dilihat merancang percutian dalam dan luar negara -- mungkin bagi meredakan tekanan selepas penat bekerja atau mahu lari seketika dari 'bahang' peristiwa yang berlaku di dalam negara.

Berdasarkan tinjauan di Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2022 yang berlangsung pada 2 hingga 4 September lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) -- orang ramai didapati telah merancang bukan sahaja perjalanan, malah bajet dengan tawaran-tawaran dikemukakan agensi pelancongan.

Lokasi pilihan yang sering menjadi tumpuan pengunjung boleh dibahagikan kepada 2 iaitu dalam dan luar negara.

Bagi dalam negara, 5 lokasi menjadi tumpuan iaitu beberapa pulau seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan Pulau Pangkor selain Melaka, Sarawak, Sabah dan Terengganu turut menjadi pilihan.

Lokasi pilihan luar negara pula ialah Korea Selatan, Taiwan, Turkiye, negara-negara Eropah termasuk negara Balkan dan negara-negara Asia Tenggara.

Dari segi perbelanjaan, beberapa pengunjung ditemui mengakui mereka sanggup untuk berbelanja sedikit tinggi pada tahun ini memandangkan ada antara mereka yang terpaksa membatalkan percutian pada tahun 2020.

Pengangkutan pilihan, sudah semestinya kapal terbang untuk ke luar negara -- namun mereka tidak menetapkan mahu menggunakan syarikat mana sebaliknya terbuka untuk semua terutamanya yang memberikan tawaran menarik.

Menurut mereka, percutian pada penghujung tahun sangat penting buat mereka selepas penat membanting tulang, mengumpul wang sepanjang tahun demi ketenangan pada hujung tahun.

Untuk rekod -- tahun lepas, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan kerugian berjumlah RM165 bilion dalam sektor pelancongan, meningkat berbanding RM135 bilion pada 2020.

Tahun ini, pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas menyaksikan sektor itu kembali bernafas dengan lebih satu juta pelancong datang ke Malaysia dari April sehingga Jun 2022.

Sumber: Astro Awani , gengtravel

Destination: