Nasi Air Dingin Tu Berkuahkan Air Sejuk Ke? Ini Asal Usul Nasi Bungkus Tersebut!
GAYA HIDUPMesti korang pernah dengar pasal Nasi Air Dingin, kan? Nasi ni sebenarnya macam nasi air kuah sejuk ke? Ataupun nasi yang berkuahkan dengan air sejuk? Kita yang pertama kali mendengar pun rasa risau nak mencuba kerana namanya pelik dan mengelirukan.
Merata-rata dah boleh nampak Nasi Air Dingin ni walaupun di Lembah Klang, bahkan di Johor pun dah ada nasi bungkus ni. Nasi bungkus ni mula mendapat perhatian orang ramai dan makin dikenali orang. Kalau dulu nak makan Nasi Air Dingin ni memang kena pergi Kelantan je.
Nasi Air Dingin ni apa sebenarnya? Nama saja nasi air dingin, bukannya ada air sejuk pun di dalamnya. Ia sejenis hidangan nasi berlaukkan gulai sama ada ikan, ayam atau daging.
Masak Guna Air Sejuk Ke?
Dah tu kenapa dipanggil Air Dingin? Hidangan ini berasal daripada Kampung Air Dingin, Tumpat di Kelantan nun. Haa, bukan sebab cara masakan atau kuah air sejuk, cuma nama kampung kelahiran hidangan saja.
Dulu-dulu nasi ni ada dijual di Kampung Air Dingin saja tau, tapi disebabkan permintaannya makin meluas dan ramai yang sukakan nasi ini, ia dijual di sekitar Kelantan pula.
Lama-kelamaan, pelancong atau orang luar Kelantan meminati nasi air dingin ini dan kemudiannya membawa pulang ke tempat masing-masing. Bila sudah menjadi minat orang ramai, nasi berlauk ini kemudian dicari-cari orang yang kebanyakannya menetap di luar Kelantan.
Sejak dari situ, munculnya agen nasi air dingin ini di seluruh Malaysia. Jangan pelik macam mana nasi begitu dibawa dari Kelantan ke tempat-tempat yang jauh seperti utara atau selatan Tanah Air.
Nasi air dingin ni dibuat dan dibungkus awal pagi, kemudian ribuan bungkusan nasi ini 'dieksport' ke luar negeri menggunakan kapal terbang dan van terus ke agen sekitar Malaysia.
Nasi Air Dingin Setiap Masa!
Macam nasi lemak juga, nasi air dingin ni sesuai dinikmati bila-bila masa saja tak kira waktu atau cuaca. Setiap waktu akan ada saja ternampak penjaja atau penjual meniaga nasi ini ini di jalanan yang sudah siap dibungkus.
Di kilang pembuatan nasi air dingin ini memang ada pekerja bertugas mengikut syif masing-masing kerana nasi berlauk ini dihasilkan untuk dinikmati sepanjang masa sama ada siang atau malam.
@ajimo Nasi Kak Chik, kedai nasi tapi production setaraf kilang. Hari-hari akan ada shipment dari Tumpat ke serata Malaysia. Respect Kak Chik serta staff-staff beliau🫡 #nasikakchik #kualalumpur #tumpat ♬ Little Things - Adrian Berenguer
Kalau korang tengok dapur pembuatan nasi air dingin ini di Tumpat, Kelantan memang besar dan pekerja-pekerja sibuk memasak serta membungkus ribuan nasi berlauk ini. Dapur yang menghasilkan nasi berlauk ini setaraf kilang
Bayangkan nasi berlauk ini dijual di Kelantan sehingga jam 2 pagi dan jika habis, mereka tambah lagi bungkusan nasi di atas meja! Lapar tengah malam, terus mencari nasi berlauk ni kerana memang senang dapat dan merata-rata dah dijual.
Nasi berlauk ini menjadi kegemaran ramai kerana bermacam-macam lauk yang dijual kepada pelanggan. Bukan sekadar gulai ayam atau ikan, bahkan ada daging paprik, ayam goreng kunyit, ayam masak merah, daging kerutuk, daging goreng dan belasan lagi lauk yang ada. Memang banyak!
Kelantan memang terkenal dengan pelbagai hidangan yang sedap-sedap, tak sah kalau datang ke Kelantan tapi tak food hunting tau. Nasi Air Dingin dah dijual merata-rata, jadi kalau nak rasa nasi ore kelate ni korang pusing je KL, konfem jumpa punya!