Norma Baru Kehidupan Seharian Akibat Penularan COVID-19

GAYA HIDUP
April 28, 2020 - 07:16 PM


Pelaksanaan PKP di Negara kita merangkumi empat (4) pelan tindakan (action plan) utama, di mana dua (2) tindakan adalah oleh Kerajaan dan dua (2) lagi tindakan adalah melibatkan masyarakat umum. Tindakan yang telah diambil Kerajaan adalah kawalan pergerakan dan kawalan sempadan.

Kawalan sempadan diperlukan untuk mengurangkan kes-kes import COVID-19 memandangkan lebih 180 buah Negara yang terbabit dengan jangkitan ini. Kawalan sempadan yang baik telah membuahkan hasil apabila 154 kes positif COVID-19 telah dikesan di kalangan warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara mulai 3 April 2020 Mac 2020. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital. Hasil kawalan pergerakan juga dapat dilihat daripada pelaksanaan PKP 1, 2 dan 3 di mana ianya mengurangkan interaksi di antara ahli masyarakat dan mengurangkan kebolehjangkitan COVID-19.

Namun demikian, PKP tidak boleh menghapuskan COVID-19 sepenuhnya. Malahan masyarakat perlu bersedia menghadapi virus ini untuk tempoh yang lebih panjang. KKM akan meneruskan aktiviti-aktiviti pembendungan dan pengawalan. Meskipun begitu, penglibatan aktif rakyat adalah amat penting sekali.

Justeru, dua (2) tindakan yang telah dan perlu terus diambil oleh rakyat dan penduduk Malaysia dalam memerangi virus COVID-19 adalah dengan meneruskan amalan jarak sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter, dan juga menjaga tahap kebersihan diri terutama dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun. Memandangkan masih belum ada vaksin untukmelawan jangkitan COVID-19, inilah amalan-amalan yang boleh menjadi “vaksin” bagi masyarakat membantu Negara memerangi penularan jangkitan COVID-19 ini.

Seperti yang KKM telah tekankan selama ini, perjuangan kita menentang COVID-19, iaitu musuh yang tidak kelihatan ini masih panjang dan usaha kita perlu berterusan. Norma kehidupan yang baharu ini perlu diterapkan ke semua peringkat masyarakat agar ianya menjadi amalan kita semua.

Ternyata kejayaan dan pencapaian melandaikan lengkung dan mengawal penularan virus COVID-19 adalah kejayaan bersama, iaitu Rakyat dan Kerajaan.

Sumber: KPM, HMetro