Orang Malaysia Dalam Senarai Ketiga Paling Ketagih Telefon Pintar Di Dunia!

GAYA HIDUP
February 15, 2022 - 06:08 PM


Seiring dengan kecanggihan telefon pintar yang semakin hari semakin moden, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila penggunanya mengalami ketagihan penggunaan smartphone atau boleh dikatakan tidak boleh berenggang langsung dengan gajet tersebut.

Sehingga terdapat satu kajian mendedahkan negara yang mempunyai kadar ketagihan telefon pintar tertinggi di dunia.

Penyelidik di Universiti McGill, Kanada, menggunakan data penggunaan telefon pintar antara 2014 dan 2020 daripada hampir 34,000 peserta di seluruh dunia.

Senarai Negara Dengan Kadar Ketagihan Tertinggi

Ironinya, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang China dan Arab Saudi -- manakala Jerman dan Perancis pula mempunyai kadar ketagihan yang paling rendah.

Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Computers in Human Behavior.

"Kami menjalankan meta-analisis penggunaan telefon pintar yang bermasalah, memberi tumpuan kepada golongan belia.

"Penggunaan telefon pintar bermasalah meningkat di seluruh dunia antara 2014 dan 2020, dan kami menjangkakan trend ini akan berterusan," tulis pasukan itu dalam kertas laporan kajian mereka.

Peserta kajian berumur 15 hingga 35 tahun, dengan purata umur keseluruhan adalah 28.8 tahun, dan kebanyakan peserta adalah wanita (60 peratus).

Tambah mereka, masalah ketagihan dalam penggunaan telefon pintar yang semakin meningkat itu boleh membawa kesan psikologi.

Mereka berharap keputusan itu akan membantu penyelidik dan pembuat dasar dalam mengukur serta meramalkan masalah penggunaan telefon pintar dan cara menanganinya dengan berkesan.

Sumber: Astro Awani

Destination: