"Sebab Kacau Tidur Je!"- Bapa Simbah Air Panas Menggelegak Pada Anak, Dihukum Penjara 6 Tahun
GAYA HIDUPSeorang bapa yang sebelum ini didakwa membunuh anaknya sebelum menanam mayat mangsa di tepi Jalan Bellamy di sini, dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana menyimbah air menggelegak ke tubuh seorang lagi anak perempuannya.
Mohd. Yasin Halik, 40, mengakui fakta kes bahawa mangsa disimbah air panas menggelegak kerana mereka mengganggunya dengan bunyi bising ketika tidur.
Hakim Norina Zainol Abidin turut memerintahkan tukang kasut itu berkelakuan baik dengan bon jaminan tanpa cagaran selama tiga tahun serta melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat untuk tempoh 180 jam selama enam bulan bermula hari ini.
Menurut pertuduhan, Mohd. Yasin sebagai bapa kandung kepada kanak-kanak berusia enam tahun itu, didakwa menyimbah air panas menggelegak dari dalam pemanas air ke tubuh mangsa hingga menyebabkan bahagian atas bahu kiri dan kanan serta kedua-dua belah lututnya melecur.
Tertuduh disabitkan melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 12 tengah hari, 1 Disember 2022 di sebuah bilik sewa di Jalan Pudu di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Pada prosiding itu, Mohd. Yasin menggeleng-gelengkan kepala selepas melihat gambar-gambar berkaitan kejadian itu termasuk kecederaan mangsa yang ditunjukkan oleh jurubahasa mahkamah.
Kedua-dua kanak-kanak tersebut merupakan anak kandungnya hasil hubungan luar nikah dengan teman wanitanya yang merupakan seorang warga negara Indonesia.
Menurut fakta kes yang dibacakan kepadanya, pasangan tertuduh bernama Suma pulang ke bilik sewa kira-kira pukul 7 malam hari yang sama selepas bertugas dan melihat kedua-dua anak perempuan dalam keadaan bogel dan terdapat kesan lecur pada badan mereka.
Wanita itu yang bekerja sebagai tukang masak sebuah restoran bertanya mengenai kesan lecur itu dan dijawab mereka: “Bapa siram air panas sebab kakak dengan adik bising”.
Tindakan wanita yang juga pengadu kes untuk membawa kedua-duanya ke hospital dihalang oleh tertuduh.
Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana ingin bertemu ibu bapanya yang berada di Sabah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman berat atas alasan kecederaan yang dialami oleh mangsa bukan ringan.
Sumber: Kosmo