Senang Jenama Mewah Buat Duit Sekarang. 'Beg Sampah' Pun Boleh Dijual Lebih RM7,900!
GAYA HIDUPSenang betul jenama fesyen mewah sekarang buat duit, kan?
'Beg sampah' pun boleh dijadikan idea untuk keluarkan produk bag berjenama paling mahal di dunia berharga RM7,974 atau $1,790 dolar Amerika.
Menerusi maklumat di laman web jenama fesyen mewah Balenciaga, item terbaharu yang dinamakan "Trash Pouch" itu direka dan dikeluarkan sebagai sebahagian daripada Pertunjukan 360° Musim Sejuk 2022.
Pertunjukan tersebut menampilkan tema merangkumi aksesori fesyen yang melampau atau exaggerated fashion accessories.
Balenciaga juga mengesahkan bahawa reka bentuk produk kontroversi itu sememangnya diilhamkan dari plastik sampah. Namun mengapa harganya begitu mahal?
Portal New York Post melaporkan ia diperbuat daripada kulit anak lembu, ditambah pula dengan logo popular Balenciaga.
Hal ini mungkin tidak menghairankan kerana Balenciaga sememangnya terkenal dengan ciptaan luar kebiasaan dan eksperimen sosial.
"Balenciaga hanya mahu melihat siapa yang cukup bodoh untuk membeli barangan itu. Mereka menjual beg sampah pada harga AS$1,790. Mesti akan ada seseorang yang akan memberitahu saya ia adalah seni," tulis seorang pengguna Twitter.
Pengarah Kreatif syarikat itu sendiri, Demna Gvasalia, dikatakan terhibur dengan idea penghasilan beg itu dan tidak mahu melepaskan peluang untuk membuat beg plastik sampah paling mahal di dunia, kerana menurutnya, "Siapa yang tidak sukakan skandal fesyen?”.