Tinggal Komen Rasis, Pemain Hoki Wanita Kebangsaan Digantung Serta Merta

GAYA HIDUP
February 09, 2023 - 05:58 PM


Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Malaysia (MSN) meminta agar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak mempertimbangkan Hanis Nadiah Onn dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan Sea Kemboja 2023.

Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan bersama MHC bermesyuarat kelmarin (Selasa) berhubung isu membabitkan ciapan komen Hanis, pemain hoki wanita negara di laman sesawang Instagram Kosmo Online yang didakwa berbaur perkauman berkenaan konsert artis dan composer dari India, AR Rahman 28 Januari lalu.

"Jawatankuasa Siasatan yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, memanggil Hanis untuk sesi tembual bagi membantu siasatan isu berkenaan.

"Dalam sesi berkenaan, Hanis mengakui memuatnaik ciapan komen 'bau best la kat dalam tu' berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert yang dimuatnaik oleh Kosmo Online," jelas kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Hanis menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaik ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton.

Dia hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman selepas ditegur oleh netizen.

"Ekoran daripada teguran itu, Hanis memadam komennya pada pagi 29 Januari dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan berkenaan.

"Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjuran ciapannya dan menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang 'racist' dan membesar dalam masyarakat majmuk di Kluang, Johor serta memiliki ramai rakan berbangsa India, terutamanya sebagai atlet negara," kata kenyataan itu.

Destination: