Trend Tanam Jambang, Apa Hukumnya?

GAYA HIDUP
November 27, 2023 - 05:16 PM


Lelaki metroseksual sering menjaga dan menitikberat keterampilan mereka. Namun tanpa mereka sedari, ada satu perkara yang diambil remeh. Contohnya soal hukum. Kita ambil trend yang semakin mendapat tempat di kalangan lelaki iaitu trend tanam jambang.

Namun, apa hukumnya bagi lelaki yang secara hakikinya tidak ditumbuhi jambang.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel terbaharunya menegaskan, mencipta jambang dengan kaedah menanam semata-mata ingin menjaga imej adalah dilarang dalam Islam.

Menurutnya, rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).

“Sekiranya tujuan menanam jambang kerana kecacatan atau kesan terbakar, ditimpa penyakit dan seumpamanya yang menyebabkan kerosakan pada jambangnya, maka ia diharuskan.

“Perkara itu diharuskan bagi membaik pulih keadaan jambangnya dengan syarat diambil bulu daripada bahagian tubuhnya sahaja,” katanya.

Susulan itu, pihaknya menasihati kepada mana-mana doktor kecantikan dan perubatan yang pakar dalam dalam bidang tersebut agar mengenal pasti pelanggan yang datang untuk menanam jambang.

Jelasnya lagi, pakar hanya boleh menerima pelanggan yang menepati syarat-syarat telah ditetapkan oleh syarak, iaitu tujuan penyembuhan penyakit atau menghilangkan aib.

Tambah PMWP lagi, proses tanam jambang melibatkan pemindahan helaian bulu yang diambil daripada satu bahagian badan dan dipindahkan ke garis rahang di mana sahaja agar dapat tumbuh.

“Menanam jambang bagi mereka yang tiada jambang berbeza dengan mereka yang sedia tumbuh  jambang secara fitrah.

“Bahkan mereka yang semula jadi tumbuh janggut mahupun jambang digalakkan untuk membiarkan janggut terus tumbuh secara semula jadi,” katanya

Destination: