Ubah Kebiasaan! Seorang Doktor Nasihat Jangan Cuci Telur Sebelum Simpan

GAYA HIDUP
April 24, 2024 - 02:24 PM


Sudah menjadi kebiasaan untuk kita mencuci telur yang dibeli sebelum disimpan di dalam peti sejuk. Ini kerana, telur yang dibeli itu dapat dilihat dengan jelas mempunyai habuk-habuk dan bekas najis ayam.

Tetapi tahukah anda, telur tidak sepatutnya dicuci? Seorang doktor perubatan dan influencer, Dr Malar telah menasihati orang ramai agar tidak mencuci telur yang ingin disimpan.

Menurutnya, kulit telur mempunyai lapisan yang berlubang-lubang dan memiliki lapisan pertahanan yang dikenali sebagai kutikula (egg bloom).

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok, Dr Malar menjelaskan fungsi kutikula adalah sebagai mekanisma pertahanan untuk menghalang udara ataupun bakteria daripada luar masuk ke dalam telur.

“Sebab kalau ada udara atau bakteria masuk ke dalam telur, nanti rosak atau basi lah isi di dalam telur tersebut. Sebab itu tuhan wujudkan secara semula jadi lapisan kutikula ini,” jelasnya. 

Ujar Dr Malar, perbuatan mencuci telur sebelum menyimpannya akan menyebabkan lapisan kutikula terbabit tertanggal daripada kulit telur.

“Maka tertanggallah pertahan semula jadi, lagi cepatlah basi ataupun rosak telur yang kita dah beli daripada kedai,” katanya.

Selain itu, Dr Malar juga berkongsi dua cara penyimpanan telur yang betul bagi mengelakkannya daripada cepat rosak atau busuk.

Cara pertama, telur yang telah dibasuh haruslah dikeringkan dahulu sebelum disimpan di dalam bekas tertutup dan kemudiannya diletakkan di dalam peti sejuk dengan suhu bawah 4 darjah celsius.

Katanya, telur terbabit sebaiknya disimpankan di bahagian dalam peti sejuk dan bukannya di bahagian pintu peti sejuk yang suhu boleh berubah-ubah setiap kali dibuka atau ditutup. 

Kaedah penyimpanan kedua pula adalah simpan di dalam sarang 'kotak' telur atau bekas yang tertutup.  Walau bagaimanapun menurut Dr Malar, telur yang dibeli itu masih perlu dicuci sebelum mula memasak. 

@drmalarss JANGAN CUCI TELUR ~ sebelum simpan 😱 !! Haaa, kenapa pulak?? Tak ke itu diajar mak2 kita? Jom tengok video ni sampai habis untuk ketahui sebab sebabnya ✨ #celotehdrmalar#teamMakMak#telurrosak ♬ original sound - CelotehDrMalar

 

Sumber: TikTok

Destination: