YouTube Sekat Kandungan Golongan Anti-Vaksin!

GAYA HIDUP
September 30, 2021 - 01:09 PM


Ketika dunia berdepan dengan tentangan hebat daripada golongan anti-vaksin yang enggan bekerjasama dalam membendung penularan wabak Covid-19 -- YouTube membuat tindakan tegas apabila bakal menyekat kandungan anti-vaksin dari seluruh dunia!

Langkah berkenaan adalah usaha platform kandungan video paling popular itu bagi menghalang sebarang penyebaran maklumat palsu berhubung vaksin Covid-19.

Antara contoh kandungan yang tidak dibenarkan disiarkan dalam YouTube termasuklah dakwaan yang mengatakan vaksin berkenaan menyebabkan kemandulan serta suntikan MMR yang melindungi individu daripada dijangkiti cacar, beguk dan rubella boleh menyebabkan autism.

Syarikat video atas talian milik Alphabet itu turut mengharamkan saluran-saluran yang dikaitkan dengan beberapa aktivis anti-vaksin ternama seperti Robert F. Kennedy Jr dan Joseph Mercola.

Dalam pada itu, Mercola dalam satu kenyataan berkata: “Kami di seluruh dunia akan terus bersatu, tidak akan hidup dalam ketakutan, berpegang teguh pada prinsip dan akan melindungi kebebasan kami.”

Kennedy pula dalam satu kenyataan menyebut: “Sejarah membuktikan penapisan dan kerahsiaan tidak akan meningkatkan demokrasi mahu pun kesihatan awam.”

Langkah itu diambil selepas YouTube dan gergasi teknologi lain seperti Facebook dan Twitter dikritik kerana dikatakan tidak bersungguh-sungguh menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung maklumat kesihatan di laman masing-masing.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: