"Janganlah Ambil Serius Sangat" - Siti Nurhaliza Jelaskan Isu Marah Staf

HIBURAN
April 17, 2024 - 12:30 PM


Sebelum ini, tular sebuah video yang menunjukkan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza memarahi stafnya ketika di belakang pentas bagi Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza yang berlangsung pada Mac lalu.

Hal tersebut menjadi perhatian ramai kerana belum pernah lagi peminat melihat penyanyi itu dalam keadaan marah sebelum ini.

Tidak menunggu lama, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di belakang pentas ketika konsert tersebut berlangsung.

Menceritakan perkara sebenar, Siti menjelaskan dia bukanlah berada dalam keadaan marah seperti yang didakwa sebaliknya ketika itu dia hanyalah risau memandangkan monitor telinga tidak berfungsi. 

Melalui sebuah hantaran di akaun Instagramnya, Siti tidak sangka situasi tersebut menjadi tular sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai.

"Saya tak sangka pula, momen belakang pentas yang disiarkan dalam Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza mendapat perhatian dan dijadikan berita serta dikongsikan, ada yang kata saya marah (reaksi dan mimik muka dalam video tersebut tanpa suara).

"Bila baca komen, alaaa..janganlah ambil serius sangat tau, saya tak marah pun, tu muka saya cuak atau cemas.

"Anda boleh tengok berapa saat je LED tu akan terbuka dan saya kena menyanyi. Bayangkan kalau ear monitor yang saya pakai tak on atau dibuka. Ear monitor ini sangat penting kepada seseorang penyanyi untuk mendengar suara dan muzik," tulisnya di Instagram.

Selain itu, Siti juga memuat naik video sebenar agar tiada lagi spekulasi dalam kalangan peminat selain berniat untuk berkongsi keadaan di belakang pentas ketika konsert berlangsung.

"Saya muat naik video sebenar supaya tiada spekulasi lagi, saya pun benarkan video tersebut disiarkan dalam siaran Astro sebab saya tahu, ada peminat mahu menonton situasi di belakang pentas," tulisnya.

Dalam pada itu, Siti juga berkongsi tentang berdepan dengan pelbagai cabaran dan pengalaman berbeza ketika menjayakan sesuatu persembahan atau konsert.

"Suasana di belakang pentas ada 1001 cerita, hanya mereka yang bekerja sahaja yang mengetahui setiap debar memberikan yang terbaik, mengejar masa, memastikan semuanya tepat masa dan tentunya mahu semua hal teknikal berjalan sempurna," tulisnya. 

 

Sumber: Instagram

Destination: