Kes Fitnah Ahli Freemason & Membiarkan Arwah Siti Sarah Meninggal Selesai, Shuib Maafkan Pelaku

HIBURAN
January 10, 2024 - 02:58 PM


Setelah lima bulan, kes saman yang membabitkan pelawak terkenal, Shuib dengan arwah isterinya, Siti Sarah telah pun selesai apabila dia memaafkan pelaku bernama John Dihani di hadapan Kompleks Mahkamah Shah Alam pagi tadi.

Sebelum ini, individu yang bernama John Dihani telah pun melemparkan dakwaan dan fitnah yang tidak berasas apabila mengatakan bahawa Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad terlibat dengan agenda Freemason dan sengaja membiarkan arwah Siti Sarah ditidurkan sebelum meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

“Alhamdulillah hari ini (Rabu) 10 Januari 2024 selesai sudah kes fitnah terhadap diri saya dan arwah Siti Sarah. Hampir 5 bulan dan hari ini semuanya telah pun terjawab.

“Fitnah kamu John Dihani adalah langsung tak berasas dan tak masuk akal! Tetapi atas dasar ikhsan dan profesional, saya maafkan kamu dan halalkan segala fitnah terhadap saya,” tulisnya di Instagram.

Menerusi video yang dikongsikan itu, John atau Mohd Johan Dihani Mohd Zaini turut membaca kenyataan maaf dan fitnah sebaik saja selesai mencapai kata sepakat sebelum bersalaman dengan Shuib sebagai tanda berdamai.

Selain membuat permohonan maaf, Shuib berkata John juga perlu menanggung akibat dengan membayar sejumlah saman kepadanya namun tidak memperincikan jumlah bayaran itu.

Difahamkan, jumlah wang yang diterima akan disalurkan kepada tabung amal Palestin di bawah Yayasan Nurjiwa.

Dalam pada itu, Shuib berharap kes sedemikian tidak akan berulang lagi pada masa hadapan selain dijadikan pengajaran oleh orang ramai.

 

Sumber: Instagram & Harian Metro

Destination: