Kes Seleweng Duit Derma, Pasangan Pempengaruh Ditahan Reman

HIBURAN
July 11, 2024 - 11:21 AM


Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman berhubung isu menyeleweng kutipan derma.

Kedua-dua mereka tiba di mahkamah menaiki van Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 9.15 pagi. 

Mereka diiringi pegawai SPRM dibawa ke aras dua dengan berpakaian warna oren dan bergari. 

Semalam, pasangan suami isteri tersebut yang dikatakan terbabit isu menyeleweng kutipan derma telah ditahan SPRM. 

Menurut sumber, pasangan suami isteri itu ditahan SPRM pada jam 6.40 petang semalam bagi membantu siasatan, selepas membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan pasangan terbabit direman untuk siasatan lanjut.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi. 

Selain itu, mereka juga didakwa hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber. 

 

Sumber: Harian Metro & Sinar Harian

Destination: