"Takkan Lah Yang Diusahakan Ini, Yang Kedua Nak Merasa" - Syarikat Kini Milik Aisyah Hijanah, Alif Teega Ulas Ada Rezeki Untuk Isteri Ke 2

HIBURAN
February 05, 2024 - 04:54 PM


Sebelum ini, pempengaruh media sosial dan usahawan sensasi, Aisyah Hijanah telah mendedahkan segala harta sepencarian bersama suami telah dipindah milik penuh kepada dirinya. Harta sepencarian yang dimaksudkan termasuklah pegangan perniagaan tudung, rumah, kereta dan aset-aset lain.

Terkini, Aisyah melahirkan rasa syukur apabila harta sepencarian dia dan suaminya, Alif Teega iaitu syarikat Hijanah kini telah sepenuhnya menjadi miliknya hari ini. Aisyah atau Aisyah Hijanah Azhari, 29, berkata, perkara itu sudah diputuskan pihak mahkamah hari ini.

“Hari ini kita baru sahaja habis perbicaraan untuk kes harta sepencarian yang sudah dipersetujui sebelum ini.

“Semuanya sudah selesai dan disahkan oleh hakim. Syarikat Hijanah ini kita uruskan bersama tapi Alhamdulillah Alif sudah serahkan sepenuhnya atas nama Aisyah,” katanya

Sementara itu, Alif berkata, pemberian syarikat tersebut bukan menunjukkan Aisyah seorang yang tamak. Sebaliknya, ia layak diberi kepada Aisyah kerana diuruskan sendiri oleh pempengaruh tersebut.

“Semua yang kita buat hari ini bukan menunjukkan isteri tamak dan nak bolot semua.

“Selayaknya Aisyah dapat sepenuhnya harta ini. Benda ini sepatutnya dibuat sebelum poligami. Isteri ada hak minta apa yang dia nak,” ujarnya.

Ditanya sama ada isteri keduanya dikenali sebagai Fatin akan mendapat sebahagian harta, Alif berkata, dia mempunyai bahagian yang tersendiri.

“Rezeki dia ada. Tak semestinya kita bagi (Aisyah) semua, dia (Fatin) tidak dapat apa. Aisyah sesuai dapat apa yang dia sepatutnya miliki.

“Takkan yang diusahakan ini, yang kedua nak merasa. Biarlah Aisyah uruskan. Dia (Fatin) ada rezeki dia. Ada bahagian dia,” ujarnya.

 

Sumber: Kosmo 

Destination: