Telefon Bimbit & Sim Kad Aliff Syukri Disita, Kini Dihantar Ke Forensik

HIBURAN
April 05, 2024 - 11:30 AM


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilaporkan telah menyita telefon bimbit dan kad sim milik usahawan, Datuk Aliff Syukri. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata peralatan komunikasi terbabit dihantar ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut.

“Saya difahamkan selepas beliau dipanggil untuk merakam percakapan di Ibu Pejabat MCMC tempoh hari, telefon bimbit dan kad sim beliau disita dan dihantar ke forensik untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat terperinci,” katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sebelum ini, Aliff Syukri telah memuat naik klip video hari raya yang menyebabkan kecaman orang ramai sehingga menyebabkan tindakan diambil oleh pihak MCMC.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by syaeircr7 (@syaeircr73)

Fahmi berkata, beliau juga ada menonton sebahagian video terbabit dan melihat komen daripada netizen yang meminta pihaknya mengambil tindakan.

Untuk makluman, klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Ia termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

MCMC berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588].

Aliff Syukri menerusi Instagramnya pada Selasa lalu, telah tampil membuat permohonan maaf dan mendakwa video teaser raya itu adalah satu gurauan sahaja selain meminta orang ramai supaya tidak memperbesarkan isu terbabit.

Permohonan maaf itu dibuat susulan kecaman bertubi-tubi yang diterima berhubung perkongsian sebelum ini yang memaparkan aksi dia bersama beberapa penari mengenakan kostum aneh dalam sedutan video lagu raya. 

 

Kredit: Kosmo

Destination: