4 Hotel Paling ‘Keras’ Di Malaysia

HOTEL
December 16, 2019 - 03:15 PM


Sebut tentang cerita seram atau ada unsur mistik, pastinya akan menarik minat segelintir orang kita. Tengok sahaja sambutan cerita seram, bebenang cerita seram di twitter mahupun apa sahaja yang ber’genre’kan seram dan ada unsur paranormal, pasti ada yang suka.

Kami yakin, setidaknya satu dari 5 orang rakan anda pasti ada cerita seram masing – masing yang nak dikongsikan bila sebut tentang ‘hotel berhantu’. Menurut kepercayaan; biasanya hotel adalah tempat ‘fevret’ disebabkan keadaannya yang sesuai iaitu banyak bilik kosong dan ada yang ‘lama’ ditinggalkan tidak berpenghuni. Jadi, ada penghuni lain tumpang.

Berikut ada beberapa ‘cerita lagenda’ berkenaan hotel seram dan keras di Malaysia. Kami tak pasti kebenarannya; tetapi inilah cerita yang kami dapat.

p/s : Penulisan ini tidak bertujuan untuk menjatuhkan imej hotel – hotel dibawah je. Baca boleh, percaya tu, terpulang.

#1. Hotel Mandarin Pacific, Kuala Lumpur

Terletak di Jalan Sultan, ditengah bandar Kuala Lumpur, Hotel ini merupakan sebuah hotel yang mempunyai 144 buah bilik dan terbahagi kepada 3 iaitu Standard, Deluxe dan Superior.

Cerita Seram :

Menurut cerita lama yang ditemui di blog seram dan sebagainya; semuanya ada menceritakan tentang kisah seorang tua yang meninggal di salah sebuah bilik di hotel ini. Ketika ditemui, mayatnya telah mulai busuk dan selepas penemuan itu, mulalah pelbagai kisah mistik disini.

Ramai tetamu merungut dan membuat aduan tentang perabot yang dialihkan selain pintu bilik diketuk pada waktu malam. Selain itu, ada juga tetamu yang mendengar bunyi lantunan guli pada lantai.

Dikhabarkan, bilik kejadian sangat menyeramkan sehingga mereka yang ‘check-in’ dibilik tersebut hanya bertahan beberapa minit sebelum meninggalkan hotel tersebut. Disebabkan insiden ini, pihak pengurusan hotel tidak buka bilik yang dimaksudkan untuk tetamu.

Menurut pembacaan; ada lagi kisah mistik di hotel ini iaitu lantai atau tingkat ‘basement’ yang sebenarnya tidak wujud tetapi ada beberapa orang tetamu yang turun dari lif dan ‘dibawa’ ke lantai basement.

 

#2. Corus Paradise, Port Dickson

Terletak di Jalan Pantai, Port Dickson, Corus Paradise merupakan resort yang akan dituju oleh mereka yang mahukan pemandangan yang cantik kerana kedudukan hotel berkenaan.

Selain terletak disebelah jalan utama di Port Dickson, Corus Paradise Resort mempunyai 200 buah bilik dan boleh memuatkan sehingga 300 orang di ruangan seminar dan acara mereka.

Cerita Seram :

Jika tengok gambar – gambar cantik resort ini, kesemua bangunan kelihatan meriah dan ‘hidup’ namun disebaliknya; salah satu daripadanya sebenarnya kosong, tiada lampu pada waktu malam dan warna cat yang sudah pudar.

Menurut tetamu, ada yang terhidu bau – bauan yang kurang menyenangkan selain mereka menjumpai ‘tanda air’ pada dinding bangunan seakan – akan resort ini pernah dilanda banjir.

Kami cuba men’gali’ lagi cerita seram disini, cuma belum temui cerita dalam bentuk penulisan. Cuma apa yang kami boleh cakap, resort ini memang nampak ‘semacam’ dan menyeramkan pada waktu malam.

 

#3. Tambun Inn, Ipoh

Terletak di Jalan Raja Dihilir, Tambun Inn merupakan salah sebuah hotel atau penginapan pilihan di Ipoh. Bangunan setinggi 3 tingkat ini hanya 5 kilometer dari lapangan terbang dan lokasinya berdekatan dengan kawasan perumahan dan juga sebuah tanah perkuburan cina.

Walaupun kecil, hotel ini menawarkan empat jenis bilik untuk dipilih oleh tetamu iaitu; bilik Standard, Twin Deluxe, Superior dan Family.

Cerita Seram :

Agak banyak cerita seram dan mistik yang diceritakan oleh tetamu – tetamu yang bermalam di Tambun Inn, paling banyak dikongsikan adalah ada yang ‘bermain’ dengan lampu. Selain lampu, ada juga yang mendakwa terdengar bisikan – bisikan halus terutamanya ketika tidur.

Versi lain; ada tetamu yang terdengar tangisan sepanjang koridor hotel, selain penampakan wanita tua di dalam dan sekitar kawasan hotel. Ada juga yang ternampak kelibat kanak – kanak wanita berbaju biru dan yang extreme adalah mereka bangun di bilik lain.

Menurut cerita lama, ada mahkluk ‘hijau’ berkeliaran di tingkat 3 dan kalau anda buat pencarian, hotel ini akan berada dalam banyak ‘senarai top-10’ tempat paranormal di Malaysia.

 

#4. First World Hotel, Genting Highlands

Kalau sebut Genting Highlands, biasanya kita akan dengar banyak cerita seram dari Amber Court dan jarang dengar dari hotel First World yang merupakan hotel paling besar di dunia ini dengan 7,351 buah bilik.

Cerita Seram :

Selain mendapat gelaran hotel paling besar di dunia (berdasarkan jumlah bilik), First World Genting juga dikatakan hotel paling berhantu di dunia! Disebabkan ramai tetamu adalah mereka yang pergi ke kasino, menurut cerita lama, hotel ini merupakan pilihan mereka yang kalah judi untuk membunuh diri.

Ada yang mendakwa melihat kelibat terjun dari bilik, terjun dari tebing dan hilang di udara, ada yang mendakwa terjumpa kelibat di koridor hotel dan ada yang ternampak ia terbang di tingkap – tingkap.

Menurut cerita lama, keseluruhan tingkat 21 hotel ini sememangnya keras dan berpenunggu dan ini dikuatkan lagi dengan cerita tiada orang yang pernah sampai di tingkat 21 kerana lif tidak mahu berhenti disana.

Ada juga mendakwa sering terhidu bau kemenyan selain terdengar bunyi pelik, bunyi tangisan dan sebagainya. Dikhabarkan, roh mereka yang terkorban semasa tanah runtuh dan kemalangan jalan raya masih merayau – rayau disekitar Genting.

Banyak aktiviti paranormal dilakukan disini dan ada beberapa bilik tidak dibuka kerana tetamu akan sakit atau demam sekiranya bermalam dibilik yang dinyatakan.

Ada yang pernah bermalam di salah satu daripada hotel ini? Kami pernah di First World, tapi tak pulak berdepan dengan cerita – cerita yang dinyatakan. Anda?