12 Tempat Menarik Untuk Percutian Paling Happening Jika Ke Temerloh!
TRAVELJika sebut mengenai melancong ke Negeri Pahang pasti ramai yang akan memilih destinasi popular seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Pulau Tioman, Cherating, Taman Negara, Fraser's Hill dan Teluk Cempedak.
Tapi, tak ramai tahu bahawa Temerloh yang terkenal dengan jolokan 'Bandar Ikan Patin' sebenarnya mempunyai banyak tempat tarikan yang boleh dikunjungi bersama keluarga dan rakan-rakan ketika bercuti.
Lebih istimewa, korang tahu tak yang Temerloh juga merupakan lokasi di mana terletaknya titik tengah bagi Semenanjung Malaysia? Mesti ramai yang tak tahu kan...
Ya, titik paling tengah bagi seluruh bumi Semenanjung ini sebenarnya terletak di Kampung Paya Siput, Temerloh dan di situlah didirikan Monumen Titik Tengah Semenanjung yang kini menjadi salah satu tarikan pelancongan baharu bagi Temerloh.
Baru-baru ini min dan beberapa rakan dari Melaka serta Johor Bahru telah bercuti selama 3 hari 2 malam ke bandar Temerloh ketika kita berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Jom kita tengok apa tempat menarik di sana yang boleh korang cuba kalau bercuti ke Temerloh.
1. KAMPUNGSTAY DESA MURNI
Bagi korang yang nak rasa pengalaman menginap seperti di sebuah kampung yang dikelilingi dengan elemen kehijauan alam semulajadi, korang boleh memilih untuk bermalam di KampungStay Desa Murni.
Tempat ini sangat sesuai kalau korang nak bawa keluarga besar korang pergi bercuti kerana di sini disediakan rumah dengan reka bentuk klasik kampung yang boleh memuatkan sehingga maksimum 20 orang.
Malah, di depan bilik pun ada kolam renang besar yang pasti membuatkan anak-anak teruja untuk bermandi-manda di dalamnya.
Selain rumah kampung yang besar, korang juga boleh memilih penginapan yang berbentuk kabin dan sangat sesuai bagi kumpulan yang lebih kecil.
Dengarnya KampungStay ini turut menawarkan pakej keluarga yang penuh dengan aktiviti menarik. Bagi mengetahui lebih lanjut mengenainya korang boleh lawat Facebook rasmi mereka di : KampungStay Desa Murni
ALAMAT: Jalan Masjid 28020 Temerloh, Malaysia
NO TEL: 09-284 7949
WEBSITE: http://www.kampungstaydesamurni.com/
2. CRUISE ESPLANADE
Memandangkan sekarang ini kita masih lagi dalam fasa PKPP yang memerlukan kita menjaga SOP seperti penjarakan fizikal dan itu menyebabkan pasar minggu paling panjang di Malaysia iaitu Pekan Sehari Temerloh masih ditutup dan belum dapat beroperasi seperti biasa.
Meskipun min dan kawan-kawan hampa juga pada mulanya kerana tak dapat berjalan-jalan di Pekan Sehari, tetapi kekecewaan itu terubat apabila kami memilih untuk berjalan-jalan sahaja menaiki bot menelusuri Sungai Pahang dan bergambar cantik di signboard 'Temerloh' yang ikonik ini.
Untuk menaiki Cruise Esplanade ini, tiket hanya berharga RM6 dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak.
Korang berpeluang bersiar-siar di atas bot kira-kira 30 minit sambil menikmati pemandangan sangkar penternakan ikan patin di kiri dan kanan sepanjang sungai tersebut serta jambatan gantung yang masih belum dibuka untuk kunjungan orang ramai dalam fasa PKPP ini.
3. MONUMEN TITIK TENGAH SEMENANJUNG
Ini merupakan tempat tarikan baharu yang boleh korang lawati sekiranya bercuti di Temerloh iaitu Monumen Titik Tengah Semenanjung yang terletak di Kampung Paya Siput, Lancang di mana ianya adalah jalan raya lama yang menghubungkan Karak dan Temerloh.
Sebenarnya pada tahun 2009, JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia) melalui kaedah topografi, iaitu kiraan jisim dan matematik mengesahkan bahawa titik tengah Semenanjung jatuh di bawah sebuah madrasah dalam tanah wakaf sekolah pondok.
Di dalam peta, kedudukan titik tengah ini boleh dirujuk dengan koordinat:
03 29 33U / 102 13 10T
3.4925U / 102.219444T
RSO: x 469519.6934 / y 386358.7627
Sebagai simbolik kawasan titik tengah itu telah didirikan sebuah mercu monumen yang dicondongkan menghala ke arah kiblat dengan pacakan 5 batang buluh mewakili lima Rukun Islam.
Jika nak ke sini, pastikan korang datang sebelum pukul 5 petang kerana min dan rakan-rakan hari tu tidak berkesempatan masuk ke dalam kawasan monumen kerana ia telah ditutup.
Monumen berkenaan dibuka untuk kunjungan orang ramai pada setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.
4. HOGOH DE COCO
Kalau Melaka terkenal dengan minuman coconut shakenya -- tetapi di Temerloh, Pahang popular dengan 'coconut shake drive-thru nombor 1 yang terbaik di Malaysia' iaitu Hogoh De Coco!
'Hogoh' berasal dari perkataan Pahang yang bermaksud goyang atau goncang, mana 'De Coco' berasal dari perkataan Sepanyol bermaksud kelapa.
Maka wujudlah Hogoh De Coco yang sangat femes di Temerloh yang setakat ini telah mempunyai 2 cawangan iaitu di Seberang Temerloh dan bandar Temerloh.
Dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 11 malam, selain pandu lalu pelbagai jenis minuman coconut shake yang lazat dan berperisa -- korang pun sebenarnya boleh 'dine-in' di situ kerana terbaharu Hogoh De Coco turut menyediakan tempat makan berbentuk kontena bertingkat yang berhawa dingin.
5. WARONG SELAI
Siapa kata dekat Temerloh tak ada tempat makan yang penuh dengan dekorasi dalaman dan sangat 'Instagramabble'?
Di Batu 4 Jalan Maran selepas Sekolah Rendah Paya Pulai terdapat sebuah warung vintage dinamakan sebagai Warong Selai.
Nak kenal tempat ini mudah je sebab dari luar pun dah kelihatan sangat klasik dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan serta susunan kaktus yang menarik.
Di sini ada pelbagai hidangan masakan melayu kampung dan beberapa menu Barat yang boleh korang enjoy.
Warong Selai ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dan hidangan mereka pula adalah berbeza mengikut waktu makan seperti menu sarapan hanya boleh didapati pada waktu pagi, tengah hari masakan lain dan petang juga hidangan yang berbeza.
6. VANILLA TEMERLOH
Ini satu lagi tempat yang tengah hot dan viral di Temerloh iaitu Amani Vanilla Temerloh yang terletak di Kampung Bangau Parit.
Istimewanya tempat ini sebenarnya adalah sebuah kafe di dalam ladang vanilla dan pelbagai produk seperti aiskrim semuanya adalah berasaskan vanilla yang diambil segar dari ladang di situ.
Nak tahu lebih lanjut mengenai tempat ni, korang boleh baca di sini: Bukan Takat Ikan Patin, Temerloh Sekarang Dah Ada Ladang Aiskrim Vanilla Tau! Ini 11 Info Menarik Tentangnya
7. CLASH GIDA
Bagi yang nak makan malam ala-ala western dan di tempat makan yang hipster, korang boleh datang ke Clash Gida yang terletak di Jalan Setia 2/3, belakang TF Temerloh.
Dekat sini ada berpuluh-puluh menu hidangan Barat yang sedap-sedap belaka dan min cadangkan kalau korang ke sini adalah lebih baik untuk memesan makanan secara berkongsi-kongsi sahaja dengan kawan-kawan sebab portion hidangan di Clash Gida ini sangat besar dan banyak.
8. LEMPENG MELETOP BANGAU TANJUNG
Jika bercuti di Temerloh dan korang memang sejenis yang gemar bersarapan -- korang wajib datang ke Lempeng Meletop Bangau Tanjung ini!
Dah namanya pun lempeng jadi makanan yang korang mesti cuba adalah lempeng mereka yang sangat sedap dimakan bersama pelbagai jenis kuah kari seperti ikan, daging, kambing, ayam dan sambal sardin.
Rasa dia memang meletop babe!!! Boleh kata ini adalah lempeng paling sedap min dan kawan-kawan pernah makan seumur hidup...hehehehe
Di sini selain lempeng ada pelbagai lagi makanan lain yang boleh dipesan seperti nasi lemak, nasi dagang, lontong dan banyak lagi. Semuanya poh paleh sedap weh!!!
Kalau tak takdelah min dan kawan-kawan sepanjang bercuti di Temerloh inilah tempat makan breakfast kami 2 hari berturut-turut.
Lempeng Meletop Bangau Tanjung ini dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 1 tengah hari. So korang jangan lewat sangat ke sini kalau tak memang licin lempeng dorang ni.
9. ALONG TEHPENG PIOR
Kalau di Kelantan ada Teh Beng, di Temerloh pula korang kena cari Along Tehpeng Pior ini!
Rasa teh ais piornya yang boleh ditambah dengan boba memang sangat awesome dan melegakan tekak yang kehausan.
Ini wajib korang cuba jika ke Temerloh dan ia ada di 2 lokasi iaitu di Taman Temerloh Jaya dan Taman Sri Semantan.
10. BANGMAN FRIED CHICKEN
Kalau korang nak makanan ringan-ringan yang boleh dinikmati ketika bercuti di Temerloh, korang boleh cuba ayam goreng viral ini iaitu Bangman Fried Chicken.
Istimewanya ayam goreng di sini akan disaluti cheese dengan sebanyak-banyaknya!
Lokasinya adalah berhampiran SK Paya Pulai Seberang Temerloh.
11. BAMBAM CAKE HOUSE
Bagi penggemar dessert dan manisan kek, di Temerloh juga ada sebuah kedai kek bernama BamBam Cake House yang menjual pelbagai jenis perisa kek yang memang menggiurkan.
Dekorasi dalaman kedai ini juga sangat bersih dan moden, jadi kalau nak singgah membeli korang datang je A21 Gerai MPT Lurah Semantan kerana ia dibuka setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 6 petang.
12. RAKUTEA
Di Temerloh kalau korang nak merasai suasana lepak-lepak santai di kafe yang Instagrammable, korang boleh datang ke Rakutea iaitu sebuah 'bubble tea shop Jepun'.
Kafe hipster ini terletak di bawah sebuah kedai urut kaki, tetapi dari jauh korang dah boleh nampak betapa cantiknya kafe tersebut dengan rumput hijaunya serta susunan kerusi meja berwarna putih.
Tak hairanlah ramai yang bergambar cantik jika datang minum ke sini!
Lokasi sebenar kafe ini adalah di 21-G, Jalan Pekeliling Mentakab dan di sini ada pelbagai jenis minuman yang korang boleh order.
Siapa kata Temerloh tak ada tarikan lain selain daripada ikan patin? Buktinya percutian min dan kawan-kawan ke Temerloh kali ini meskipun dilakukan dalam musim PKPP tetap happening dan sangat food hunting! Hehehehe....