Anda Berani Nak Berenang Dengan Ikan Jerung Paus? Jom Pergi Gorontalo
TRAVELSiapa antara korang yang suka berenang atau menyelam sambil ditemani dengan ‘kawan-kawan’ yang dipanggil Ikan Jerung Paus?
Wah, bunyi macam menakutkan je, kan? Tapi jangan risau sebab katanya di Pantai Botubarani, Gorontalo, Sulawesi, Indonesia memang lokasi bagi pelancong tempatan dan antarabangsa untuk melihat serta berenang-renang bersama ikan-ikan gergasi tersebut.
Bagi korang yang nak merasai pengalaman unik ini, korang boleh menyewa sebuah perahu kecil milik nelayan tempatan di sana dengan harga hanya 75 ribu Rupiah (RM 22) yang boleh memuatkan maksimum 3 orang.
Bayaran tiket masuk ke perairan yang memang menjadi persinggahan ikan jerung paus ini pula hanya sekitar 25 ribu Rupiah (RM 7) setiap seorang.
Bagi yang tak berani nak berenang dengan ikan jerung paus ini tapi teringin nak melihat ikan tersebut secara ‘live’ boleh bergambar dari atas perahu sahaja.
Tapi, bagi korang yang memang kaki ekstrem dan nak berenang atau berkuak lentang dengan kawanan ikan jerung paus ini, korang boleh ambil pakej yang lengkap dengan perahu, alat-alat menyelam dan seorang guide tempatan dengan bayaran hanya 450 ribu Rupiah (RM 132).
Difahamkan tempat pelancongan untuk melihat ikan jerung paus ini dibuka sejak tahun 2016 apabila berlaku kes di mana terdapat penduduk tempatan secara tidak sengaja terbuang sisa makanan ke laut yang mengundang kehadiran ikan-ikan tersebut ke lokasi ini.
Semakin lama, semakin banyak kawanan ikan jerung paus ke Pantai Botubarani dan akhirnya dimanfaatkan warga sekitar untuk menghasilkan pendapatan dengan membukanya kepada para pelancong.
Meskipun ikan-ikan gergasi itu jinak, tapi setiap pengunjung ke sini tetap dinasihatkan untuk kekal berhati-hati dengan sebarang risiko.
Oleh itu, bagi pelancong yang ingin bergambar secara dekat atau berenang bersama ikan jerung paus di sini dilarang untuk menyentuh haiwan tersebut atau menggunakan flash kamera yang mungkin mendatangkan panik kepada haiwan berkenaan.
Kalau korang nak tahu ikan-ikan jerung paus di sini ada yang mencapai ukuran paling besar dengan panjang sekitar 10 meter!
Dan jika korang bernasib baik, kadang-kala ada juga ikan lumba-lumba yang hadir di kawasan itu dan waktu terbaik untuk ke sana adalah bermula dari bulan Mei hingga Julai.