Anda Dah Lengkap Vaksin? Nantikan Diskaun Tiket & Baucar Taman Tema Menarik Ini!

TRAVEL
July 27, 2021 - 03:03 PM


Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa) akan memberikan diskaun tiket dan baucar istimewa di semua taman tema dan pusat hiburan keluarga serta taman permainan milik ahli Matfa pada 31 Ogos ini kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap.

Matfa dalam satu kenyataan memaklumkan pemberian bernilai RM640,000 itu adalah salah satu usaha persatuan itu menzahirkan semangat kenegaraan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini.

Menurut Matfa, inisiatif itu juga sebahagian daripada sokongan terhadap saranan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi kelonggaran sekatan pergerakan kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap.

Sementara itu, Matfa turut memberi jaminan mengenai gelembung perjalanan yang selamat kerana sistem kawalan pintu masuk yang berkesan akan menjadi sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 apabila dibuka kepada umum kelak.

"SOP yang bersepadu iaitu penggunaan sepenuhnya aplikasi MySejahtera, hanya membenarkan pengunjung berisiko rendah dan penerima vaksin lengkap dibenarkan masuk ke dalam premis, serta pelaksanaan peraturan sedia ada seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka akan diteruskan," menurut kenyataan itu.

Matfa juga meneruskan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan untuk mempercepatkan proses pengagihan vaksin lengkap kepada pekerja taman tema, pusat hiburan keluarga dan taman permainan.

Sementara itu, Matfa sekali lagi meminta pertimbangan kerajaan untuk membenarkan pembukaan perniagaan utama industri pelancongan pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara.

Sumber: Harian Metro

Destination: