Bercuti Ke Ipoh, Jangan Lupa Singgah 'Gerbang Malam' Ia Dah Beroperasi Semula

TRAVEL
June 17, 2020 - 03:51 PM


Tak lengkap percutian anda jika jalan-jalan ke Ipoh, Perak sekiranya tidak singgah cuci mata atau membeli-belah di lokasi terkenal yang dinamakan "Gerbang Malam"!

Namun disebabkan penularan pandemik COVID-19, kawasan deretan kedai perniagaan itu telah ditutup sejak 18 Mac lalu.

Kini, Gerbang Malam telah dibenarkan untuk beroperasi semula dari jam 5 petang hingga jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun, untuk permulaan Kerajaan hanya membenarkan 60 daripada 128 peniaga menjalankan perniagaan secara bergilir setiap hari di Gerbang Malam yang menjadi antara tarikan di bandar Ipoh.

Setiap gerai pula dibenarkan beroperasi dengan jarak 3 meter antara satu sama lain bagi memastikan penjarakan sosial untuk mengelak jangkitan COVID-19.

Malah semua pengunjung yang ingin memasuki kawasan pasar malam itu juga dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengambil suhu badan, memakai pelitup muka dan mengikut aliran jalan yang telah ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Perlu diingatkan juga bahawa anda tidak digalakkan untuk membawa warga emas dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun jika berkunjung ke Gerbang Malam.

Sumber: Harian Metro & Kredit Gambar: Perak Today

Destination: