Disneyland Shanghai Kini Dibuka Semula, Tapi Hadkan Cuma 24,000 Pengunjung Sehari
TRAVELBerikutan krisis pandemik COVID-19 di China dilihat semakin reda dan pulih, Taman Tema Disneyland Shanghai telah dibuka semula bermula Isnin selepas ia ditutup selama tiga bulan.
Bagaimanapun pembukaan itu dihadkan hanya untuk 24,000 pengunjung atau 30 peratus daripada kapasiti harian jumlah pelawatnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak pengurusan juga akan memastikan para pengunjung menjaga jarak sosial, memakai topeng hidung dan mulut serta memeriksa suhu badan pelawat dan pekerja.
Berita pembukaan itu mendapat sambutan hangat pengunjung apabila tiket masuk habis terjual sejak Jumaat lalu.
"Kami berharap pembukaan semula Disneyland Shanghai dapat memberi harapan dan inspirasi kepada dunia bahawa Covid-19 dapat diatasi," kata Joe Schott yang juga Presiden Shanghai Disney Resort.
Pembukaan itu juga menandakan kejayaan bagi Walt Disney yang memberi gambaran bagaimana ia dapat pulih daripapada wabak yang memaksanya menutup taman tema di Asia, Amerika Syarikat, Perancis serta operasi kedai cenderamata dan kapal persiarannya.
Sebelum taman tema itu dibuka, seramai 30 pemegang pas tahunan berpakaian kostum Mickey Mouse menunggu di luar pagar masuk dan berbaris dalam kotak kuning yang disediakan bagi menjaga jarak sosial.
Salah seorang pengunjung dikenali sebagai Kaira memberitahu, sebelum ini dia biasanya akan berkunjung ke Disneyland setiap minggu sebagai terapi diri.
"Di sini saya dapat berseronok dan menghilangkan tekanan," katanya.
Eksekutif Disney pada minggu lalu menganggarkan penutupan itu menyebabkan pihaknya mengalami kerugian sebanyak AS$1.4 bilion.
Sumber: Mstar