Explorasi Bandaraya Melaka Sebagai Tapak Warisan Dunia
TRAVELMengunjungi Tapak Warisan Dunia di Bandaraya Melaka adalah satu pengalaman istimewa yang sukar dilupakan.
Suatu ketika dulu saya pernah mengikuti rombongan sekolah melawat tempat-tempat bersejarah di Banda Hilir namun kunjungan kali ini amat berbeza kerana berpeluang untuk menikmati keindahan warisan dunia melalui darat, air dan udara.
Seperti yang saya nyatakan di awal tadi, keindahan Tapak Warisan Dunia di Bandaraya Melaka boleh dinikmati melalui jalan darat, air dan udara.
Saya memulakan eksplorasi dengan mengunjungi bangunan yang sinonim dengan negeri Melaka iaitu Stadthuys ataupun lebih dikenali dengan nama Bangunan Merah. Ianya tetap tersergam indah meskipun telah berusia lebih 300 tahun.
Sekeliling bangunan tersebut penuh dengan tinggalan sejarah oleh penjajah Portugis, Belanda serta Inggeris. Lihat sahaja di kiri dan kanan, pastinya akan kelihatan binaan bercirikan senibina negara-negara penjajah itu.
Dengan hanya berjalan kaki, saya kemudian meneruskan eksplorasi dengan mendaki ke Bukit St. Paul bagi melihat tinggalan Portugis di situ. Memang benar seperti yang diceritakan dalam sejarah, Bukit St. Paul merupakan lokasi paling strategik kerana kedudukannya menghadap laut Selat Melaka.
Dengan jelas kita dapat melihat Selat Melaka yang dahulunya sibuk dengan pedagang-pedagang dari seluruh dunia. Runtuhan Gereja St. Paul begitu dipelihara dengan baik hinggakan kita mampu membayangkan suasana pada zaman itu. Batu-batu yang disusun membentuk dinding boleh dilihat, dipegang serta diamati teksturnya.
Gereja St. Paul dibina oleh Portugis namun pada zaman pemerintahan Belanda, ianya dijadikan sebagai tempat persemadian pemimpin-pemimpin mereka dan boleh disaksikan dengan jelas pada batu-batu nesan yang terdapat di dalam gereja tersebut.
Sambil disapa bayu Selat Melaka, saya meneruskan perjalanan turun dari bukit St. Paul menuju ke satu lagi binaan ikon yang menjadi tumpuan semua pelancong di Melaka.
A’ Famosa yang terkenal menjadi sasaran utama lensa kamera. Agak susah untuk merakamkan gambar kerana di hadapannya akan dipenuhi dengan puluhan malahan mencecah ratusan pengunjung yang ingin mengabadikan kenangan di situ.
A’ Famosa begitu ikonik hinggakan ada yang mengatakan tidak sah berkunjung ke Melaka jika tidak bergambar di situ. Baik kanak-kanak mahupun dewasa hinggalah warga emas, semuanya mencari sudut sesuai untuk mendapatkan gambar terbaik sebagai tanda menjejakkan kaki ke kota termahsyur dalam sejarah itu.
Selesai melihat tinggalan Portugis dan Belanda, saya menuju ke satu lagi tempat tarikan pelancong iaitu Menara Taming Sari. Kali ini saya ingin merasai sendiri pengalaman eksplorasi Tapak Warisan Dunia dari udara.
Berada 80 meter tinggi di angkasa, Menara Taming Sari menjanjikan pemandangan Bandaraya Melaka yang mempersonakan. Sekali lagi Selat Melaka mengimbau memori keunggulan zaman Kesultanan Melayu Melaka, terasa bangga kerana suatu masa dahulu selat itu begitu agung hinggakan menjadi rebutan kuasa-kuasa asing.
Menara Taming Sari berputar 360 darjah sekaligus memberi peluang kepada pelancong melihat keseluruhan Bandaraya Melaka. Bukit St. Paul, Muzium Maritim, Sungai Melaka serta pusat membeli-belah dan kawasan sekitarnya amat memukau setiap mata yang memandang.
Meskipun hanya tujuh minit Menara Taming Sari berputar pada ketinggian 80 meter, ianya cukup memberi kepuasan kepada semua peringkat umur.
Kembara di darat dan udara selesai sudah. Kini saya memulakan satu lagi adventure menyusuri sejarah ketamadunan Melayu melalui jalan air.
Sungai Melaka yang tidak ditelan arus pemodenan menyediakan segalanya untuk semua. Melaka River Cruise menjadi satu lagi kewajipan bagi pelancong yang berkunjung ke sini.
Ianya boleh dinaiki dari jeti utama di Taman Rempah ataupun di Dataran Sungai Melaka bersebelahan dengan Muzium Kapal Flor De la Mar.
Menerokai warisan sejarah dengan bot Sungai Melaka amat mengasyikkan. Perjalanan selama 45 minit menyusuri sungai sepanjang 8 kilometer sememangnya tidak patut dilepaskan.
Projek pemuliharaan sungai dan penambahbaikan laluan pejalan kaki juga memberi nafas baru kepada aktiviti pelancongan di situ.
Kampung Morten yang indah, jambatan-jambatan yang bersejarah dan kafe-kafe di pinggir Sungai Melaka amat mengujakan. Turut menjadi tarikan adalah mural-mural berwarna-warni menghiasi bangunan di sepanjang laluan.
Sekali lagi perasaan bangga sebagai anak Malaysia tercetus apabila mendengar komen pelancong asing yang tidak putus-putus memuji keindahan Bandaraya Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia.
Tempoh 45 minit bagaikan tidak cukup bagi menikmati keindahan. Namun begitu, kepulangan bot ke Dataran Sungai Melaka menandakan lengkaplah sudah eksplorasi Tapak Warisan Dunia melalui darat, air dan udara.
Peluang sebegini sememangnya unik dan menarik untuk diceritakan kepada teman-teman yang belum pernah atau mungkin pernah ke Melaka suatu masa dahulu. Percayalah, status Bandaraya Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia amat bertepatan dan wajar dipelihara.
Artikel & gambar oleh: Bob Faizeli Mohamed Din