Info Ringkas Yang Perlu Anda Tahu Jika Nak Backpacking Ke Melaka

TRAVEL
September 12, 2019 - 03:19 PM


Berstatuskan bandar bersejarah, Melaka merupakan salah satu destinasi yang sangat menarik dan istimewa. Baik dari segi tempat tarikannnya mahupun makanan, semuanya ada di Melaka.

Kalau dari Kuala Lumpur, Melaka hanyalah 2 hingga 3 jam perjalanan menggunakan kereta. Pernah dijajah oleh pihak Portugis dan Belanda kerana kedudukannya yang strategik, Melaka juga salah satu tempat yang terkenal dalam kalangan pedagang antarabangsa di Timur. Pedagang dari Arab, China dan India sering singgah di Melaka dan disebabkan itulah juga Melaka mempunyai kepelbagaian budaya selain 3 kaum utama di Malaysia.

Untuk yang belum pernah bercuti ke Melaka, atau nak cuba cara yang berlainan, perkongsian kali ini mungkin boleh membantu.

Cara Nak Explore Melaka

#1. Berjalan Kaki

Kalau korang jenis yang aktif, tahan panas, dan nak rasa pengalaman yang lain daripada yang lain. Cubalah berjalan kaki sahaja untuk pusing – pusing Bandar Melaka.

Cuba ke 2 tempat tarikan ini; Baba & Nyonya Heritage Museum yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Muzium Istana Kesultanan Melaka yang berada di Jalan Kota, Bandar Hilir.

Selain itu, boleh dikatakan kebanyakan tempat tarikan yang ada di Melaka ini terletak berdekatan antara satu sama lain, jadi boleh sangat kalau nak berjalan kaki. Lagipun, tempat letak kereta agak susah nak dapat, lagi – lagi waktu cuti. Hehe.

 

#2. Berbasikal

Selain berjalan kaki, korang boleh jugak cuba berbasikal untuk melawat tempat menarik di Melaka ni. Nak lagi best, cuba sertai ‘tour’ yang ada untuk melawat bandar bersejarah tersebut.

Sesetengah hotel memang ada sediakan basikal untuk disewa oleh pelanggan mereka. Jadi, sekali sekala apa kata korang berbasikal pulak. Cuma, kena faham lah jalan dekat Malaysia ni macam mana kalau nak berbasikal.

Lagi satu, rancang perjalanan korang bebetul. Jangan korang bantai bawak basikal nak naik St. Paul’s Hill pulak, memang tak boleh. Ada tangga je. Hehe.

 

#3. Cruise

Walaupun tidaklah sehebat Venice di Itali, tetapi ini merupakan satu – satunya produk pelancongan yang terawal menggunakan bot (cruise). Kalau siapa yang belum pernah mencuba Melaka River Cruise, cubalah sekali.

Sampai di Melaka, cari Jeti Muara dan disinilah titik atau stesyen pertama river cruise ini. Korang akan dibawa menyusuri sungai dicelah-celah bandar Melaka selama 45 minit. Kalau nak diikutkan, korang boleh lihat pelbagai senibina lama dan baru selain sisi lain bandar Melaka melalui rivercruise ini.

 

#4. Naik Beca

Tak sah lah ke Melaka kalau korang tak pernah cuba menaiki beca! Setidaknya kena cuba sekali. Kebiasaannya, abang – abang beca ini akan menanti pelanggan di Dutch Square dan akan membawa korang melalui jalan untuk ke tempat – tempat tarikan pelancong.

Dalam masa yang sama, diorang ni kadang – kadang boleh jadi ‘guide’ jugak tau. Korang boleh ‘korek’ rahsia atau cerita yang orang tempatan sahaja tahu. Menarik kan?

 

#5. Kereta

Tak dapat dinafikan, pilihan berkereta untuk pusing bandar Melaka adalah yang paling cepat dan mudah. Tapi kadangkala sangkut dalam kesesakan dan sebagainya jugak lah. Lagi – lagi bila berada di kawasan tarikan.

Selain pandu sendiri kereta, korang boleh menggunakan perkhidmatan teksi. Malangnya, difahamkan kebanyakkan teksi dekat sana tak guna meter, main tawar menawar sahaja. Nak selamat, gunalah Grab. Hehe.

Destination: