Ini 3 Destinasi Pelancongan Terawal Yang Paling Selamat Untuk Bercuti Di Pahang!

TRAVEL
August 09, 2021 - 06:48 PM


Seperti yang kita sedia maklum, mana-mana negeri yang berada di Fasa 2 dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) -- bakal 'membuka pintu' kepada kedatangan pelancong domestik yang telah lengkap pengambilan 2 dos vaksin.

Pahang antara negeri yang telah mula mendapat 'lampu hijau' tersebut.

Sebagaimana yang dinanti-nantikan, ramai yang sudah tidak sabar untuk mula bercuti ke pelbagai destinasi pelancongan menarik yang ada di Pahang seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Cherating dan sebagainya.

Namun pihak Tourism Pahang menjangkakan sektor pelancongan di negeri ini dapat kembali dibuka dalam tempoh dua minggu lagi, melibatkan beberapa destinasi pelancongan terpilih yang bersesuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata pembukaan semula sektor itu melibatkan destinasi yang telah mencapai lebih 80 peratus penduduknya lengkap menerima dos suntikan vaksin COVID-19.

Antara lokasi awal yang boleh menerima kedatangan pelancong dalam negeri ialah :

1) Bukit Fraser

2) Pulau Tioman

3) Janda Baik

Destinasi lain juga bakal menyusul selepas penduduk di kawasan pelancongan tersebut juga selesai menerima vaksin.

Ini kerana selain syarat lengkap 2 dos vaksin, pihak berkuasa juga perlu meneliti cara terbaik untuk memastikan aktiviti pelancongan yang dijalankan adalah terkawal supaya tidak menjadi punca penularan baharu.

Semalam (8 Ogos) -- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran bagi sektor sosial termasuk pelancongan bagi negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Antara aktiviti yang dibenarkan itu melibatkan inap desa (homestay) dan hotel dengan syarat pengusaha terlibat perlu memastikan individu yang ingin memasuki premis berkenaan menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.

Bagi menarik semula minat penduduk Pahang kembali bercuti, promosi pelancongan akan diperhebatkan selain menerusi pemberian baucar dan diskaun selain mewujudkan gelembung pelancongan selamat.

Sumber: BERNAMA

Destination: